PUTRAJAYA: Rangka tindakan Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) dilancarkan semalam bertujuan merangka dan memandu arah perancangan dan pembangunan bandar pintar melalui penerapan teknologi digital di Wilayah Persekutuan.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata MySmart Wilayah 2030 itu menggariskan 25 dasar, 76 tindakan, 118 indikator dan 25 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) melibatkan agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
Dasar-dasar yang digariskan meliputi tujuh komponen utama iaitu smart governance, smart economy, smart living, smart environment, smart people, smart mobility dan smart infrastructure, katanya.
“MySmart Wilayah 2030 ini memberi fokus untuk meningkatkan kualiti hidup melalui penggunaan teknologi dan pelaksanaan inisiatif pintar seterusnya mewujudkan masyarakat pintar melalui digitalisasi, inovasi dan nilai moral yang baik,” katanya, kepada pemberita selepas melancarkan MySmart Wilayah 2030, di sini semalam.
MySmart Wilayah 2030 itu juga akan dijadikan panduan kepada semua pihak untuk bekerjasama dengan jabatan dan agensi di bawah KWP dalam melaksanakan inisiatif bandar pintar melalui penerapan Revolusi Industri 4.0, Internet benda (IoT), data raya, kecerdasan buatan (Ai) serta teknologi 5G, katanya.
Annuar berkata, cabaran yang dihadapi di setiap Wilayah Persekutuan adalah berbeza seperti Kuala Lumpur misalnya dijangka menghadapi peningkatan kadar pertumbuhan penduduk daripada 1,910,600 orang pada 2020 kepada 2,254,000 orang pada 2040.
Annuar berkata, MySmart Wilayah 2030 sememangnya dirangka bagi membolehkan kebajikan dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan daripada aspek keselamatan, pendidikan, kesihatan, alam sekitar yang bersih dan komuniti pintar terus terbela.
Dari segi pendidikan, MySmart Wilayah 2030 dapat membantu meningkatkan keupayaan platform pembelajaran secara pintar dan interaktif seperti digital classroom dan digital library, katanya.
Dari aspek keselamatan pula, rakyat akan dapat menikmati kehidupan bandar yang selamat dengan peningkatan instrumen seperti CCTV, butang cemas, pusat arahan dan Pencegahan Jenayah Menerusi Reka Bentuk Persekitaran (CPTED), katanya.
— Bernama