MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin berucap kepada warga kementeriannya semasa Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan semalam. • Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Aplikasi MySejahtera akan dijadikan platform digital kesihatan awam negara berikutan transisi peralihan negara daripada pandemik Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mahu aplikasi itu dijadikan alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.
PAC semalam membentangkan Laporan Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen.
Antara syor PAC adalah kerajaan harus memastikan pemilikan penuh kerajaan dalam aplikasi MySejahtera serta memberikan jaminan bahawa data dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat dan tidak akan disalahguna.
“Apabila MySejahtera dipindahkan ke KKM dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita pastikan soal pemilikan data adalah selamat dan MySejahtera boleh digunakan sebagai platform kesihatan awam,” kata Khairy dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan KKM di sini semalam.
MySejahtera dibangunkan untuk membantu dalam pengawasan penularan pandemik Covid-19 dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. Kini, aplikasi itu telah dikemas kini dengan ciri baharu antaranya kad penderma darah serta orang ramai boleh mengikrarkan diri sebagai penderma organ.
Khairy berkata beliau mahu memastikan isu-isu berbangkit berkaitan aplikasi MySejahtera diselesaikan “sebelum meninggalkan KKM”.
“Rumusan (PAC) adalah paling penting kerajaan harus memiliki aplikasi (MySejahtera) sepenuhnya dan memang itu yang kita telahpun buat terutama dengan yang kontrak bakal ditandatangani. (Dengan itu), tiada lagi keraguan soal pemilikan aplikasi dan juga data, semuanya dimiliki oleh kerajaan Malaysia,” katanya.
Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, Khairy berkata bacaan kedua RUU itu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis, dengan pindaan RUU itu telah mendapat persetujuan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang.
“Saya yakin RUU ini boleh diluluskan jika mengikut aturan mesyuarat tetapi sekiranya Parlimen dibubarkan dan ia tidak sempat dibawa ke Dewan Negara, undang-undang ini mesti dibentangkan semula oleh kerajaan baharu, itu prosedurnya.
“Kalau diluluskan kemudian Parlimen bubar, sia-sia sahaja kita (KKM) buat kerja dan tak boleh bawa perkara ini (ke Dewan Negara) dan terpaksa bentang semula,” katanya.
Pada 27 Julai lepas, Khairy membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat pada 2 Ogos lepas bersetuju Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan, ketika usul itu pada peringkat bacaan kedua.
Rang undang-undang itu yang antara lain bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau “vape” kepada individu yang dilahirkan pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, disifatkan mengehadkan kebebasan memilih oleh beberapa Ahli Parlimen selepas ia dibentangkan pada Julai lepas. – Bernama