MyNIISe di Sungai Tujoh percepat urusan sempadan, namun sistem manual perlu dikekalkan

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

MIRI: Pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) yang menggunakan kemudahan kod QR di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh disifatkan sebagai langkah tepat ke arah mempercepatkan urusan keluar masuk di sempadan Sarawak-Brunei.

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, berkata inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri itu mampu mengurangkan kesesakan, terutama pada hujung minggu, musim perayaan, cuti persekolahan dan waktu puncak.

Menurut beliau, bagi penduduk Miri dan kawasan utara Sarawak, kelancaran di pintu sempadan Sungai Tujoh bukan sekadar memudahkan perjalanan, malah menjadi laluan penting bagi aktiviti perdagangan, urusan keluarga serta kemasukan pelawat dari Brunei.

“Penggunaan sistem yang lebih pantas dan cekap juga akan memperkukuh hubungan ekonomi, sosial serta sektor pelancongan antara Miri dan Brunei,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Chiew menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia agar pelaksanaan sistem digital itu dilakukan secara berperingkat serta dipantau rapi bagi mengelakkan sebarang gangguan atau kesesakan di pintu sempadan.

Beliau berkata, pemeriksaan pasport secara manual perlu terus dikekalkan sebagai pilihan serta pelan sandaran sekiranya berlaku masalah teknikal sepanjang tempoh awal pelaksanaan sistem berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan penjelasan pihak Imigresen, tiga lorong ketibaan dan tiga lorong pelepasan akan disediakan khusus untuk pelawat yang memuat turun serta mendaftar aplikasi MyNIISe.

“Pada masa sama, semua lorong itu masih boleh digunakan sebagai kaunter pemeriksaan pasport secara manual seperti sebelum ini.

“Pelawat yang belum memuat turun atau mendaftar aplikasi MyNIISe juga masih boleh keluar masuk melalui pintu sempadan menggunakan pasport seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan yang fleksibel itu penting bagi memastikan penggunaan teknologi baharu memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pengguna tanpa menjejaskan kelancaran perjalanan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat Malaysia yang kerap menggunakan laluan Sarawak-Brunei supaya memuat turun dan mendaftar aplikasi MyNIISe lebih awal bagi menikmati proses pemeriksaan imigresen yang lebih pantas.

Dalam pada itu, Chiew turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia, atas usaha berterusan menambah baik pengurusan serta operasi di pintu sempadan menerusi peningkatan infrastruktur, penambahan anggota dan pelaksanaan inisiatif pendigitalan.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri akan terus memantau pelaksanaan sistem MyNIISe di Sungai Tujoh serta menyalurkan sebarang maklum balas daripada masyarakat kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

Oleh Liong Chai Ling