
SIBU: Seramai 2,900 peserta menyertai Program Bantuan Lesen Memandu B2 (My Lesen) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, program berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan MADANI dalam usaha mendekati serta membantu golongan B40 dan mereka yang berpendapatan rendah.
“Program ini amat bermakna kerana ia benar-benar membantu meringankan beban rakyat. Melalui MyLesen, kos mendapatkan lesen motosikal kelas B2 hanya RM250, berbanding harga pasaran yang biasanya mencecah antara RM800 hingga RM900.
“Perbezaan kos yang hampir tiga kali ganda lebih murah ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat, khususnya golongan belia dan pekerja, untuk memiliki lesen memandu secara sah tanpa tekanan kewangan yang tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Menurutnya, Program Bantuan Lesen Memandu bukan sekadar bertujuan membantu peserta memperoleh lesen, malah lebih penting dalam membentuk sikap pemanduan yang berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Program ini membuka peluang kepada orang ramai untuk mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain.
“Saya percaya melalui program seperti ini, kita mampu melahirkan pemandu yang lebih beretika dan seterusnya mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan, kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda di jalan raya,” ujarnya.
Beliau berharap agar semua peserta memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaiknya, mengikuti latihan dengan penuh komitmen serta menjadi contoh pemandu yang berhemah dan bertanggungjawab.
Program anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu dengan kerjasama Akademi Memandu Suria Sibu itu dilaksanakan dalam dua sesi, melibatkan 1,800 peserta bagi sesi pertama dan 1,100 peserta bagi sesi kedua.
Oleh Akun Giman