KERJASAMA… Pusat beli-belah Mydin menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dengan menawarkan diskaun kepada pemegang dengan Kenyalang Gold Card (KGC), di pusat beli-belah Mydin, semalam.
KUCHING: Pusat beli-belah Mydin menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dengan menawarkan diskaun kepada pemegang dengan Kenyalang Gold Card (KGC), di pusat beli- belah Mydin, semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah dalam ucapan aluan berkata, kerjasama strategik tersebut bakal memberi manfaat kepada penduduk warga emas di Sarawak.
Katanya, penuaan penduduk merupakan fenomena pada abad ke-21 yang tidak dapat dinafikan dan turut memberi impak terhadap negara bergantung kepada sejauh mana negara bersedia untuk menghadapinya.
“Malaysia sebagai negara membangun akan merasai penuaan penduduk dalam masa terdekat dan kelajuan Malaysia mencapai status negara tua adalah lebih pesat berbanding negara maju.
“Ini adalah kerana transisi demografi kedua yang dialami berlaku dalam konteks perkembangan teknologi perubatan yang canggih. Dalam kata lain, isu penuaan merupakan satu isu yang semakin meruncing di Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, Malaysia dijangka akan menjadi negara menua (ageing nation) menjelang 2030 di mana 14 peratus daripada populasi akan berumur 60 tahun ke atas dan akan terus meningkat kepada 24 peratus menjelang 2050 berdasarkan jangkaan populasi unjuran Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, tambah Fatimah Sarawak dianggarkan akan menjadi sebuah wilayah yang akan menua lebih awal daripada negeri-negeri lain di Malaysia.
“Menurut Jabatan Statistik Malaysia, Sarawak dianggarkan mempunyai 16 peratus warga emas dan bersamaan dengan 526,000 orang pada 2030 manakala pada tahun 2019 juga dianggarkan seramai 315,000 warga emas Sarawak.
“Justeru, sebagai persediaan dalam menangani cabaran masyarakat menua (ageing society) ini, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak telah mewujudkan satu inisiatif yang dinamakan Kenyalang Gold Card (KGC),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Kerjasama Strategik Kenyalang Gold Card dan Perasmian Kempen CSR Mydin Prihatin Syawal 2022 Peringkat Negeri Sarawak di Lobi Utama Petra Jaya, di sini, semalam.
Menjelas lanjut, beliau berkata, menerusi kerjasama tersebut warga emas dapat menikmati diskaun yang pelbagai sewaktu berbelanja di Mydin seperti farmasi dan sebagainya.
Dalam ucapan tersebut, Fatimah juga mencadangkan untuk mewujudkan satu lorong khas untuk warga emas, golongan kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung di pusat beli belah Mydin bagi menjadikan Sarawak sebagai negeri yang mesra warga emas, OKU dan juga ibu mengandung.
Oleh RYNNA SHA’ERRA