
DARO: Inisiatif turun padang oleh sukarelawan MyChampion yang mengetuk dari pintu ke pintu demi menyampaikan mesej kesihatan dalam bahasa mudah terus mencuri tumpuan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja menyentuh hati komuniti, malah dilihat sebagai langkah berkesan dalam memperkukuh tahap literasi kesihatan khususnya di kawasan luar bandar.
“Peranan MyChampion dalam menyampaikan maklumat kesihatan secara langsung kepada penduduk menerusi aktiviti ‘walkabout’ dari rumah ke rumah amat saya hargai.
“Mesej yang disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami menjadikan pendekatan ini amat berkesan,” katanya berucap merasmikan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Parlimen Igan dan Latihan Bina Upaya MyChampion Daerah Matu dan Daro yang diadakan di Balai Raya Rumah Dawi, Nanga Kecil di sini, baru-baru ini.
Ahmad Johnie turut menarik perhatian terhadap dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang menunjukkan tahap literasi kesihatan rakyat Malaysia masih rendah, selain kebimbangan terhadap isu seperti demam denggi, gaya hidup tidak aktif serta pengambilan gula secara berlebihan.
Ahmad Johnie turut meggesa komuniti agar terus mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan persekitaran menjelang sambutan Hari Gawai, antaranya melalui inisiatif ‘One Hour Malaysia Clean Up’ serta amalan 3R (kurangkan, gunakan, kitar semula).
–UKAS