Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Myanmar tumpaskan rangkaian dadah maritim ke Malaysia, rampas 17 juta pil perangsang
  • GLOBAL

Myanmar tumpaskan rangkaian dadah maritim ke Malaysia, rampas 17 juta pil perangsang

Utusan Sarawak 5 hours ago
Foto hiasan

PHNOM PENH: Pihak berkuasa dadah Myanmar menumpaskan rangkaian besar penyeludupan dadah rentas sempadan yang merancang menghantar 17 juta pil perangsang ke sindiket Malaysia melalui laluan laut.

Menurut Bahagian Penguatkuasaan Dadah Myanmar, dadah yang dirampas itu bernilai lebih RM40 juta (AS$10 juta).

Dalam operasi selama sebulan di seluruh negara yang melibatkan pelbagai agensi, 13 suspek utama ditahan manakala sembilan lagi masih bebas.

Pihak berkuasa turut merampas 1.29 tan methamphetamine, 1.87 tan ketamin dan berjuta-juta tablet perangsang. Laporan itu menambah tiada rakyat Malaysia dikenal pasti antara yang ditahan dalam operasi terbaharu ini.

Media kerajaan, The Global New Light of Myanmar, pada Sabtu mendedahkan modus operandi kompleks yang digunakan sindiket Myanmar termasuk penggunaan bot, ladang udang, kenderaan pacuan empat roda berkuasa tinggi dan pelbagai lintasan sempadan untuk mengangkut kargo haram mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang ditahan bertanggungjawab mengangkut ke perairan Malaysia dan negeri Rakhine. Mereka mengedar dadah tiga kali dari Yangon ke muara laut dan empat kali dari Kawthaung ke Selat Melaka. Mereka diarahkan menghantar ‘ice’ (methamphetamine) dari Yangon ke Malaysia melalui laut,” kata bahagian penguatkuasaan itu, menurut media kerajaan.

Negeri pesisir barat Rakhine sedang berdepan perang saudara berpanjangan yang membawa kesan ekonomi dan sosial besar, termasuk kekurangan makanan yang teruk. Kawthaung pula terletak di hujung selatan Myanmar bersempadan dengan Thailand.

Dalam perkembangan berkaitan, pada Jumaat, agensi berita Indonesia Antara melaporkan Badan Narkotik Nasional (BNN) bekerjasama dengan pihak berkuasa Myanmar bagi membendung kemasukan sindiket rentas sempadan ke negara itu.

“BNN telah memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang Myanmar, sebuah negara yang dikenali dengan pengeluaran dadah berskala besar di Asia Tenggara,” kata Ketua BNN Marthinus Hukom, lapor Antara.

Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) pada Mei lalu memberi amaran bahawa pengeluaran dan pengedaran methamphetamine meningkat mendadak di Asia Tenggara sejak 2021.

Memandangkan pengedar dadah rentas negara terus mengeksploitasi laluan baharu untuk mengelak penguatkuasaan, koridor penyeludupan yang menghubungkan Malaysia, Indonesia dan Filipina kini menjadi laluan penting, kata pegawai UNODC.

“Laluan penyeludupan yang menghubungkan Kemboja dengan Myanmar, terutamanya melalui Laos, berkembang pesat. Satu lagi koridor yang semakin penting ialah laluan penyeludupan maritim yang menghubungkan Malaysia, Indonesia dan Filipina, dengan Sabah di Malaysia menjadi hab transit utama,” kata Inshik Sim, Penganalisis Utama di Pejabat Serantau UNODC untuk Asia Tenggara dan Pasifik.– Bernama

Continue Reading

Previous: Lima maut kemalangan bas pelancong di Negeri New York, AS
Next: 12 maut, jambatan dalam pembinaan di China runtuh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.