
KUCHING: Kehangatan Festival Kuching 2025 diteruskan malam ini dengan penganjuran Festival Kuching iaitu Musik Tradisional Oriental yang berlangsung buat julung kali di Panggung Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Jalan Padungan.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, acara tersebut bukan sekadar persembahan muzik, malah menjadi lambang keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di bandar raya ini.
“Lihat sahaja malam ini, senyuman, keriangan dan tenaga yang memenuhi panggung ini adalah gambaran sebenar semangat Festival Kuching.
“Sebelum ini, konsert ini hanya menampilkan muzik instrumental masyarakat Tionghua dan diadakan di auditorium lebih kecil. Namun, tahun ini kita perluaskan dengan penglibatan pelbagai alat muzik tradisional daripada etnik lain di Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, langkah membesarkan pentas penganjuran membolehkan lebih ramai penonton hadir menikmati persembahan, sekali gus mengukuhkan konsep ‘Satu Sarawak, keharmonian dalam kepelbagaian’.

Pengerusi Penganjur yang juga Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Kaunselor Bong Siak Peng, berkata penganjuran kali ini merupakan detik penting dalam usaha memperkaya program seni budaya festival tersebut.
“Tradisinya, acara ini dibawakan oleh Orkestra Cina yang menjadi antara kemuncak sambutan budaya kita. Namun malam ini, kita melakar sejarah dengan menampilkan pemuzik daripada pelbagai komuniti etnik di seluruh Sarawak daripada alunan sape masyarakat Orang Ulu, paluan kompang Melayu, hingga keharmonian muzik klasik India.
“Semua bunyi, gaya dan tradisi berbeza ini bersatu di pentas yang sama, sama seperti rakyat Sarawak yang hidup bersama dalam suasana hormat-menghormati,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa konsert tersebut membuktikan muzik bukan sahaja seni, tetapi juga kuasa penyatu yang dapat memupuk perpaduan antara generasi.
Kedua-dua pemimpin itu turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, petugas MBKS dan semua penggiat seni yang menjayakan persembahan, sambil mengajak penonton membiarkan alunan muzik mengisi jiwa dengan semangat perpaduan.
Oleh Shikin Mahmud