
KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) hari ini menggesa pihak berwajib mengambil langkah segera termasuk menggubal undang-undang, bagi mengawal penghasilan muzik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengerusinya Rosmin Hashim berkata kegiatan itu menjadi ancaman besar kepada kelangsungan industri muzik tempatan kerana boleh menjejaskan mata pencarian ribuan penggiat seni tempatan.
“Antara kebimbangan utama ialah isu pelanggaran hak cipta apabila model AI dilatih menggunakan kandungan muzik berhak cipta tanpa kebenaran pemegang hak cipta. Tanpa perundangan yang jelas, pencipta mungkin mendapati karya mereka dieksploitasi tanpa kebenaran atau pampasan yang sewajarnya.
“Baru-baru ini, teknologi AI digunakan untuk menghasilkan versi baharu lagu Aku Cinta Padamu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan vokal tiruan suara Dayang Nurfaizah. Ini bukan sahaja melanggar undang-undang hak cipta, tetapi juga menimbulkan isu pemilikan hak cipta bagi lagu sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata berdasarkan kajian ekonomi global oleh Konfederasi Persatuan Pengarang dan Komposer Antarabangsa (CISAC), dianggarkan industri muzik dunia akan menanggung kerugian hingga €10 bilion menjelang 2028 akibat muzik janaan AI tanpa imbuhan kepada pencipta asal.
“Pencipta bukan sahaja tidak dibayar apabila karya mereka digunakan untuk melatih model AI, malah pendapatan mereka turut terjejas akibat persaingan dengan output yang dijana AI itu sendiri.
“Kerugian ini juga akan ditanggung oleh semua penggiat dalam ekosistem industri muzik tempatan termasuk pencipta lagu, penyanyi, pemuzik dan syarikat rakaman serta akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan yang besar dalam masa terdekat,” katanya.
Rosmin berkata lebih 20,000 lagu janaan AI dimuat naik ke platform penstriman muzik Deezer setiap hari dan menyumbang hampir 18 peratus daripada keseluruhan kandungan muzik di platform itu.
“Jika trend ini berterusan, kandungan muzik yang dihasilkan oleh AI akhirnya akan mengatasi kandungan yang dihasilkan oleh manusia dan mengambil alih bayaran royalti yang diterima oleh manusia dalam pelbagai platform penstriman muzik berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi melindungi kreativiti dan kepintaran manusia serta menetapkan peraturan ketelusan kepada pembangun AI, termasuk kewajipan mendedahkan kandungan berhak cipta yang digunakan dalam latihan model AI.
“Langkah ini penting bagi memastikan pembangunan AI berlaku secara beretika dan seimbang serta terus menyokong kreativiti dan kelangsungan budaya muzik tempatan,” katanya. — Bernama