
SIBU: Muzik bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti serta generasi berbeza dalam membina perpaduan dan keharmonian, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang.
Beliau berkata, program berteraskan muzik bukan sahaja menggalakkan kreativiti dan menonjolkan bakat tempatan, malah mencerminkan bagaimana generasi muda mampu memodenkan persepsi terhadap acara bertemakan keagamaan melalui pendekatan yang segar dan inklusif.
“Muzik adalah bahasa sejagat yang menyatukan manusia tanpa mengira latar belakang.
Setiap nada dan lirik yang dimainkan membawa mesej perpaduan, satu suara, satu irama dan satu Sarawak,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kaunselor Kevin Lau ketika merasmikan program ‘Melodies Between The Cloudsʼ anjuran UTS Buddhist Fellowship Youth di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, semalam.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan turut memuji usaha penganjur yang menggunakan muzik sebagai medium untuk memperkukuh persefahaman serta keharmonian dalam masyarakat majmuk di negeri ini.
Beliau berkata, penganjuran program sedemikian bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi mencerminkan semangat anak muda Sarawak yang ingin membina hubungan bermakna, meraikan kepelbagaian dan mengekalkan nilai tradisi sambil berkembang dengan kreativiti moden.
Sehubungan itu, beliau menggesa lebih banyak pertubuhan belia dan institusi pendidikan mencontohi inisiatif seumpama itu dalam memperkukuh peranan seni sebagai wadah membina perpaduan sosial.
Program ‘Melodies Between The Cloudsʼ menampilkan pelbagai persembahan muzik oleh pelajar universiti dan bakat tempatan dengan objektif memupuk semangat kebersamaan serta memberi inspirasi kepada masyarakat melalui irama dan melodi yang menyentuh hati.
“Semoga alunan muzik yang kita dengar hari ini terus bergema dalam hati kita walaupun setelah acara ini berakhir,” katanya.
Turut hadir ADUN Bukit Assek Joseph Chieng dan Penasihat UTS Buddhist Fellowship Youth, Ir Leong Wen Kam.
Oleh Tarani Lanting