
Presiden AS, Donald Trump berjabat tangan dengan Elon Musk. - Foto AFP
WASHINGTON: Ketegangan antara Elon Musk dan Donald Trump meletus apabila individu terkaya dunia itu mengecam rang undang-undang cukai dan perbelanjaan yang menjadi tunjang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat itu.
Kecaman itu merupakan kenyataan terbuka pertama Musk terhadap Trump, beberapa hari selepas meninggalkan jawatan kontroversi di Rumah Putih.
Terdahulu, Musk dipuji oleh pemimpin Republikan ketika beliau melepaskan jawatannya sebagai penasihat utama dalam “Jabatan Kecekapan Kerajaan” (Department of Government Efficiency, DOGE) minggu lalu, walaupun dikritik kerana gagal menunaikan janji pemotongan perbelanjaan secara radikal.
“Rang undang-undang perbelanjaan Kongres yang besar, melampau dan penuh dengan kepentingan sendiri ini adalah satu kehinaan dan menjijikkan,” katanya di platform X.
“Malulah kepada mereka yang mengundinya, anda tahu anda sudah membuat kesilapan.”
Ini bukan kali pertama Musk mengulas mengenai rang undang-undang besar yang dijangka menambah AS$3 trilion (RM12.75 trilion) kepada defisit AS dalam tempoh 10 tahun walaupun terdapat pemotongan besar dalam program kesihatan dan bantuan makanan.
Bagaimanapun, kritikan sebelum ini lebih bersifat berhati-hati dengan jutawan Tesla dan SpaceX itu hanya menyatakan bahawa ia menjejaskan usaha penjimatan kosnya.
Semalam, Musk berkata rang undang-undang yang sedang dipertimbangkan oleh Kongres itu akan membebankan rakyat dengan hutang yang sangat tidak mampan.
Catatan itu menunjukkan hubungan yang semakin tegang antara Rumah Putih dan Musk, yang menyumbang hampir AS$300 juta (RM1.27 trilion) kepada kempen pilihan raya Trump pada tahun 2024.
Media AS melaporkan bahawa Musk kini semakin kecewa kerana matlamat beliau untuk mendapatkan tindakan kerajaan yang memberi manfaat kepadanya secara peribadi tidak menjadi kenyataan.
Rang undang-undang yang dikritiknya itu memotong insentif cukai untuk kenderaan elektrik, sesuatu yang memberi kesan negatif kepada Tesla.
Portal Axios melaporkan bahawa Musk ditolak dalam usaha untuk melanjutkan peranannya melebihi had 130 hari yang ditetapkan oleh undang-undang.
Beliau juga gagal dalam percubaannya untuk menjadikan sistem satelit Starlink sebagai alat kawalan trafik udara.
Menurut Axios, Musk marah apabila Trump menarik balik pencalonan sekutunya, Jared Isaacman, sebagai ketua NASA.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, dalam respon pantas kepada ciapan Musk berkata, Presiden sudah maklum mengenai pendirian Elon Musk terhadap rang undang-undang ini dan ia tidak mengubah pandangannya.
Pertelingkahan ini berlaku ketika Dewan Perwakilan Republikan bersedia meluluskan undang-undang bagi mengesahkan pemotongan sebanyak AS$9.4 bilion (RM39.95 bilion) yang dicadangkan oleh DOGE, kebanyakannya membabitkan pembiayaan untuk penyiaran awam dan bantuan luar negara.
Speaker Dewan, Mike Johnson, menyifatkan komen Musk sebagai “mengecewakan,” sambil menambah bahawa beliau sudah menerangkan secara terperinci mengenai rang undang-undang itu kepada usahawan itu Isnin lalu dan Musk seakan memahami. – AFP