VIRGIL van Dijk. Foto AFP
LONDON: Virgil van Dijk mengakui musim sukar Liverpool adalah ‘tidak boleh diterima’ selepas kekalahan 3-2 kepada Manchester United menjejaskan usaha mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara UEFA.
Kekalahan The Reds kepada musuh tradisi mereka pada Ahad itu menyaksikan mereka kini berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris.
Skuad kendalian Arne Slot yang muncul juara 12 bulan lalu, mempamerkan pertahanan yang hambar, memaksa mereka sekadar berjuang untuk memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Selepas mengalami kekalahan ke-18 dalam semua pertandingan musim ini, Liverpool masih memerlukan empat mata daripada baki tiga perlawanan untuk mengesahkan tempat dalam kelompok lima teratas bagi melayakkan diri ke pentas elit Eropah.
Slot tidak dapat menurunkan penyerang utama seperti Mohamed Salah, Hugo Ekitike dan Alexander Isak selain dua penjaga gol, akibat kecederaan ketika menentang United.
Namun kapten Liverpool, Van Dijk menegaskan masalah kecergasan tidak boleh dijadikan alasan bagi kempen yang tidak menentu itu.
“Saya tidak di sini untuk mencari alasan. Ini musim yang sangat mengecewakan, musim yang tidak boleh diterima bagi kami, dan ia sukar,” katanya.
“Kami tidak patut berasa kasihan pada diri sendiri. Kami perlu bekerja, bangkit semula dan memastikan perkara seperti ini tidak berlaku musim depan kerana ini bukan Liverpool.”
Van Dijk turut membalas kritikan terhadap pemain Liverpool yang menggunakan masa lapang mereka selepas beberapa pemain dilihat berada di luar negara sebelum perlawanan menentang United.
“Saya tidak pasti itu percutian. Ia sekadar perjalanan ke bandar,” kata pertahanan dari Belanda itu.
“Tetapi jika anda ada satu hari cuti, dan tidak banyak hari cuti, mereka berhak menentukan apa yang mahu dilakukan bersama keluarga. Kami bukan budak-budak. Semua orang sudah dewasa.”
Mengulas dakwaan sesetengah pengkritik bahawa pasukan mempunyai terlalu banyak masa rehat, Van Dijk berkata: “Betulkah? Kadangkala saya harap kami ada lebih banyak hari cuti kerana ia ada dua sisi.
“Anda lihat Pep Guardiola memberi Manchester City tiga hari cuti, contohnya, sejak beberapa minggu lalu dan mereka beraksi dengan baik. Ia soal mencari keseimbangan yang tepat.”
Slot kini dikritik kerana gagal mengekalkan Liverpool dalam perebutan kejuaraan musim ini yang dijangka berakhir tanpa sebarang trofi.
Van Dijk, yang pernah menjulang trofi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara bersama Liverpool, bertekad memastikan pasukannya tidak mengulangi prestasi mengecewakan itu musim depan.
“Seperti orang lain, secara peribadi saya mahu perkara ini diselesaikan. Saya mahu kami kembali seperti yang pernah saya alami sepanjang berada di sini. Saya mahu berjaya,” katanya.
“Konsistensi adalah perkara paling sukar dalam apa jua pekerjaan, tetapi itulah cara terbaik untuk mendapatkan keputusan dan kejayaan. Itulah yang perlu kami cari.
“Kami perlu sedar bahawa musim depan kami tidak boleh mengulanginya. Ia tidak boleh diterima.” – AFP