
BARAM: Pekan Long Lama menjadi tumpuan pengunjung dan penggemar raja buah, durian, apabila pelbagai jenis durian dari segenap kawasan pedalaman Ulu Baram mula membanjiri pasaran tempatan sejak menjelang Tahun Baharu.
Fenomena tahunan ini menyaksikan lambakan durian yang dibawa masuk oleh pekebun kecil dari pelbagai kampung sekitar.
Antaranya ialah Kampung Long Miri, Long Lama, Uma Bawang, Sungai 2, Long Banyok, Uma Akeh dan Long Laput.

Pelbagai jenis durian tempatan yang ditawarkan pada harga berpatutan mengikut saiz dan kualiti menarik kehadiran pembeli dari dalam serta luar kawasan Baram.
Antara jenis durian yang menjadi buruan pengunjung dan penggemar durian ialah Suluk, Tembaga dan Otak Udang.
Namun tarikan utama yang mencuri perhatian pembeli ialah durian Isu, iaitu spesies durian hutan asli Sarawak yang terkenal dengan isi berwarna kuning, oren malah merah, dan jarang ditemui di luar Wilayah Borneo.

menurut seorang peniaga dari Kampung Long Laput yang hanya dikenali sebagai Jeffery, musim durian kali ini membawa limpahan rezeki luar biasa kepada pekebun kecil di kawasan Baram.
Katanya, hasil durian pada tahun ini agak memberangsangkan dan mereka bersyukur kerana kualitinya sangat memuaskan hati pelanggan.
Katanya, selain dapat menambah pendapatan keluarga, suasana di pekan Long Lama kini menjadi riuh dengan suara tawar-menawar antara pelanggan dan peniaga, sekali gus mengubat kerinduan para peniaga untuk berkumpul beramai-ramai seperti pada musim durian.

“Kehadiran pemborong dari Miri dan Bintulu yang membeli secara pukal membuktikan bahawa kualiti hasil bumi dari kawasan pedalaman mendapat permintaan yang tinggi, sekali gus secara langsung merancakkan lagi aliran tunai di luar bandar.”
Bekalan durian dijangka terus konsisten dan mampu memenuhi permintaan sehingga menjelang sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) tidak lama lagi tertakluk kepada keadaan cuaca dan hasil luruh dari kebun-kebun di kawasan pedalaman Ulu Baram.
Penduduk tampatan dan pelancong dipelawa singgah di pekan Long Lama bagi merasai sendiri keunikan durian asli Ulu Baram serta memeriahkan lagi ekonomi komuniti setempat.
Oleh Jiku Juguong