‘Musim baharu, gaya baharu’: Haaland potong rambut panjang ikonik

Facebook
WhatsApp
PENYERANG Manchester City, Erling Haaland, tampil dengan gaya rambut baharu. Foto AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Penyerang Manchester City, Erling Haaland, tampil dengan gaya rambut baharu menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris apabila bintang Norway itu memotong rambut perang panjang ikoniknya.

Haaland mempamerkan gaya rambut pendek terbaharunya menerusi akaun media sosial pada Ahad, bersama kapsyen: “Musim baharu, gaya baharu.”

Pemain berusia 26 tahun itu turut memuat naik gambar di X yang menunjukkan beberapa peringkat proses gunting rambutnya dengan kapsyen “Rambut pendek, tak kisah.”

Beberapa jam kemudian, Haaland memasuki padang Stadium Etihad untuk menjalani pemanasan badan dengan penampilan baharunya menjelang perlawanan pertama kempen liga utama City menentang Bournemouth.

Dalam temu bual bersama James Corden menerusi Fox Sports pada Julai lalu, Haaland mendedahkan dia mengekalkan gaya rambut lamanya atas nasihat bekas penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic, yang juga terkenal dengan rambut panjang.

“Zlatan – tahu apa yang dia beritahu saya? ‘Jangan sesekali potong rambut kerana kekuatan ada pada rambut’,” kata Haaland.

Penyokong City pastinya berharap Haaland kekal tajam seperti biasa untuk pasukan kendalian Enzo Maresca itu walaupun sudah meninggalkan gaya rambut terkenalnya.

Haaland dan pasukannya kini beraksi tanpa pengurus Pep Guardiola selepas pengendali dari Sepanyol itu menamatkan tempoh 10 tahun bersama kelab berkenaan pada penghujung musim lalu. – AFP