
BINTULU: Gabungan ilmu sains dan pertanian moden membuahkan hasil apabila murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru berjaya menuai hasil tanaman melon emas pertama mereka menerusi Program AgriSTEM.
Kejayaan ini sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan amali dalam memperkukuh pemahaman dan minat terhadap bidang pertanian moden.
Program yang melibatkan 40 murid Kelab Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu dimulakan pada 26 Februari lalu dengan penanaman 200 pokok melon emas di ladang mini sekolah.

Projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan dibimbing oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB, Dr. Shiamala Devi Ramaiya.
Menurut Dr. Shiamala, mereka bukan sahaja mempelajari teori dalam bilik darjah, malah turut dilatih mengurus tanaman secara saintifik termasuk pengiraan komposisi media tanaman, dos pembajaan, kawalan pH tanah dan teknik pendebungaan manual.

“Penuaian ini adalah simbol kejayaan kerja keras mereka selama ini.
“Ia membuktikan bahawa pendidikan STEM boleh diterjemah secara praktikal, memberi kefahaman yang lebih mendalam serta membina kemahiran sebenar,” katanya.
Tambahnya pelajar turut mempelajari aspek hiliran hasil pertanian apabila mereka memproses melon yang dituai menjadi produk seperti ais krim dan dadih.
“Mereka juga diberi pendedahan kepada aspek pemasaran dan jualan produk, menjadikan projek itu satu latihan menyeluruh dalam ekosistem agro-keusahawanan,” katanya.
Majlis penuaian yang berlangsung di sekolah terbabit semalam (24 April) turut disertai ibu bapa, guru dan komuniti setempat yang teruja menyaksikan hasil titik peluh anak-anak mereka.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sikong Lusek menyifatkan Program AgriSTEM sebagai model pendidikan masa depan yang mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik STEM, tetapi juga mempunyai daya inovasi dan semangat keusahawanan tinggi.
Sementara itu, Guru Besar SK Kampung Baru, Mohamed Khaidir Mohamed Arebi yakin bahawa pendekatan pembelajaran melalui pengalaman sebenar sedemikian mampu memberi impak jangka panjang kepada perkembangan murid.
“Mereka bukan hanya belajar, tetapi mereka menyaksikan sendiri hasil ilmu yang diaplikasikan.
“Ia satu pengalaman pendidikan yang holistik dan berimpak tinggi katanya.
Difahamkan, pusingan kedua penanaman melon akan dimulakan tidak lama lagi sebagai langkah memperkukuh kesinambungan program dan memantapkan lagi kemahiran dalam bidang pertanian berteknologi tinggi.
Program AgriSTEM bukan sahaja menyemai minat terhadap sains dan pertanian dalam kalangan murid, malah membuka peluang untuk mereka melihat pertanian sebagai satu kerjaya moden yang berdaya saing dan kritikal dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Oleh Carolyne Utih