KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) dan kerajaan Sarawak akan menganjurkan Muktamar Masjid-Masjid Serantau 1444 Hijrah/ 2023 5 hingga 6 Julai ini bersempena sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
Menurut Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MAIS) Datu Misnu Taha, muktamar itu akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 5 Julai ini di salah sebuah hotel terkemuka di sini bakal dihadiri sekitar 900 peserta terdiri daripada masyarakat setempat dan luar Sarawak.
“Antara tujuan muktamar ini diadakan adalah menyediakan satu wadah untuk masjid-masjid di rantau ini berkongsi ilmu, pemikiran, idea dan pengalaman dalam bidang berkaitan dengan pengetahuan masjid; dan (menerusinya) kita menitikberatkan perkataan lestari.
“Selain itu, ia juga memberi pengetahuan kepentingan institusi masjid sebagai pusat pengimarahan, pemantapan ibadah dan pusat pengupayaan komuniti, selain menghasilkan cadangan dan tindakan yang perlu dilaksanakan dalam memperkasakan pengurusan dan pengimarahan Masjid khususnya di Sarawak,” ujar beliau.
Misnu berkata demikian pada sidang media bagi Muktamar Masjid-Masjid Serantau 1444 Hijrah/2023 di pejabat MIS di sini, hari ini.
Sementara Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dijadualkan menghadiri Majlis Penangguhan Muktamar Masjid-Masjid Serantau 2023 pada 6 Julai 2023.
Hadir sama, Setiausaha MIS merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Khalidi Ibrahim dan Pengarah Jabatan Mufti Sarawak Mual Suaud.
Mengulas lanjut mengenai muktamar tersebut Misnu berkata, beberapa sesi pembentangan akan diadakan membabitkan penceramah jemputan dari seluruh negeri.
Penceramah jemputan datangnya dari Sabah, Johor, Selangor, Kedah, Pahang dan dari negara luar termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei termasuk Sarawak.
Tambah Misnu, 5 Julai ini, beliau sendiri akan membentangkan kertas kerja utama berkaitan ‘Masjid dalam Mendepani Isu dan Cabaran Serantau’.
Pada masa sama, 6 Julai ini, katanya, terdapat juga sidang pleno bertajuk ‘Membina Jaringan Masjid dalam Kerangka Menjadikan Institusi Masjid sebagai Pusat Pembangunan Dakwah’.
“Pada 4 Julai ini pula iaitu sehari sebelum muktamar berlangsung, 6.00 petang bertempat di Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma di sini akan kita adakan Forum Perdana dengan tajuk ‘Masjid Makmur Ummah Sejahtera’,” ujarnya.
Justeru, beliau mengalu-alukan umat Islam di sekitar kawasan Kuching untuk hadir memeriahkan forum tersebut.
Oleh Azreen Keria