PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melancarkan program Bakul Prihatin Negara, yang melibatkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima dengan peruntukan RM21 juta.
Bercakap kepada media selepas meninjau pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, Muhyiddin berkata program tersebut adalah komitmen kerajaan dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan masyarakat yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.
Program berkonsepkan ‘masyarakat menyeluruh’ melibatkan kerjasama kerajaan dan syarikat korporat dan ia diuruskan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah KPWKM. Setiap bakul makanan bernilai RM50 itu mengandungi beras, gula, tepung gandum, bihun, kicap, sardin, biskut, kopi dan garam.
“Dalam soal pengurusan kebajikan rakyat ni kita tak boleh berkompromi. Selagi masalah pandemik Covid-19 belum dapat diatasi dan soal ekonomi belum pulih, saya cukup prihatin dan rasa agak bertanggungjawab untuk menentukan kesejahteraan rakyat di negara kita tak kira apa latar belakang mereka, di mana mereka berada, mestilah kita laksanakan dan kita berikan sebaik-baik perhatian untuk membantu mereka,” katanya.
Menurut Muhyiddin, daripada peruntukan RM21 juta itu, RM5 juta adalah merupakan peruntukan kerajaan manakala RM16 juta disumbangkan oleh syarikat korporat.
Muhyiddin berkata setakat ini, tidak termasuk Bakul Prihatin Negara, kerajaan telah menyalurkan sebanyak 2.315 juta bakul makanan melibatkan peruntukan RM173.4 juta yang telah memanfaatkan seramai 9.26 juta orang sejak pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan fasa pertama pada Mac tahun lepas.
“Sebahagian besar dari kumpulan sasar yang ada baik M40, B40, atau T20 yang terkesan kerana tak boleh nak berniaga dan berhenti kerja, semua kita sampaikan bantuan,” katanya.
Bakul Prihatin Negara itu adalah hasil cetusan idea Muhyiddin sendiri sebagai tindak balas proaktif terhadap senario yang dihadapi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan bakul makanan boleh memohon bantuan dengan menghubungi Talian Kasih di 15999, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan tempat tinggal serta merujuk maklumat di media sosial rasmi KPWKM, katanya.
Muhyiddin yang diringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika membuat tinjauan itu turut menerima sumbangan RM16 juta dari lima syarikat korporat untuk menjayakan program Bakul Prihatin Negara itu.
Yayasan Petronas yang diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menyampaikan sumbangan dalam bentuk replika cek berjumlah RM5 juta, AEON Big yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif AEON Group Malaysia Shafie Shamsuddin pula menyampaikan sumbangan RM4 juta.
Pharmaniaga Bhd yang diwakili Pengerusi Datuk Seri Mohammed Shazaili Ramly menyampaikan sumbangan RM3 juta; Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang diwakili Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Baharin Din dan Telekom Malaysia Bhd yang diwakili Pengerusi Tan Sri Mohd Bakke Salleh pula masing-masing RM2 juta.
Muhyiddin turut menyerahkan vest Skuad Prihatin Negara kepada dua sukarelawan Ahmad Azri Ahmad, 35, dan Azalina Abdul Rahman, 44. – Bernama