
SUBANG: Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dilantik sebagai Panglima Tentera Udara (PTU) ke-21 menggantikan Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang menamatkan perkhidmatan hari ini.
Pelantikan Muhamad Norazlan yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara dilaksanakan dalam Upacara Serah Terima Tugas di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini dengan disaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar
Turut diadakan Upacara Kenaikan Pangkat Muhamad Norazlan daripada Leftenan Jeneral kepada Jeneral dan Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Udara Ke-20.
Muhamad Norazlan, 58, anak kelahiran Kota Tinggi, Johor menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi pada 1985 hingga 1987 sebelum memulakan latihan penerbangan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1988 di Alor Setar.

Sepanjang kerjayanya, Muhamad Norazlan telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat pejuang seperti Aermacchi MB3394, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MIG29N/UB dan Sukhoi 30MKM.
Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam TUDM antaranya Komander Pangkalan Udara Gong Kedak, Timbalan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan (P&P), Ketua Staf di Markas Pemerintahan Operasi Udara, Panglima Bantuan Udara dan Panglima Operasi Udara sebelum menjawat jawatan Timbalan Panglima Tentera Udara sejak 28 Jun 2022.
Sementara itu, Mohd Asghar Khan berkhidmat dalam TUDM selama lebih 42 tahun setelah menyertai pasukan itu pada 18 Julai 1983 sebagai Pegawai Kadet di MTD.
Beliau memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985 dan telah menerbangkan pesawat pejuang A4 Skyhawk, F-5E, MIG-29N dan Sukhol 30MKM.
Mohd Asghar Khan menyandang jawatan PTU sejak 7 Mac 2022, menggantikan Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang bersara wajib.
-Bernama