LONDON: Pemain sayap Chelsea Mykhailo Mudryk dibenarkan kembali beraksi serta-merta selepas Persatuan Bola Sepak England (FA) dan Agensi Antidoping Dunia (WADA) mencapai penyelesaian berhubung rayuannya terhadap hukuman penggantungan kerana gagal ujian doping, lapor PA Media/dpa.
Pemain Ukraine itu sebelum ini digantung empat tahun selepas ujian pada 2024 mengesan meldonium, bahan larangan, pada kepekatan rendah dalam sampelnya.
Mudryk kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Bagaimanapun, perubahan terhadap prosedur WADA sepanjang tempoh rayuan bermakna sekiranya keputusan ujian sama berlaku hari ini, tiada pertuduhan akan dikenakan.
FA dalam kenyataan berkata perubahan yang dibuat itu tidak terpakai secara retrospektif, namun berdasarkan piawaian semasa, kepekatan meldonium dalam sampel Mudryk tidak akan dilaporkan dan tidak akan menyebabkan pelanggaran peraturan antidoping.
“Susulan perkembangan itu serta mengambil kira keadaan lain dalam kes berkenaan, FA dan Mudryk, dengan persetujuan WADA, kini telah menyelesaikan prosiding rayuan.
“Sebagai sebahagian daripada persetujuan itu, Mudryk menerima bahawa dia melakukan pelanggaran peraturan antidoping yang dipertuduhkan dan bersetuju menjalani tempoh penggantungan bersamaan tempoh yang telah dilaluinya sehingga tarikh persetujuan dicapai.
“Mudryk tidak lagi dikenakan sekatan dan boleh kembali beraksi serta-merta,” menurut FA.
Mudryk menyertai Chelsea dari Shakhtar Donetsk dengan yuran perpindahan £62 juta (AS$83.5 juta) pada 2023 dan telah membuat 73 penampilan serta menjaringkan sembilan gol sebelum digantung.
Chelsea menyambut baik keputusan itu dan berkata kelab akan membantu pemain berusia 25 tahun berkenaan menyesuaikan diri semula dengan pasukan serta meneruskan kariernya.
“Sejak awal, tempoh ini amat sukar buat Misha (Mudryk), dari segi profesional dan peribadi, dan kami gembira perkara ini kini selesai serta membolehkannya kembali beraksi serta-merta,” menurut kenyataan kelab.
Chelsea berkata pihaknya sentiasa menyokong Mudryk sepanjang proses itu sambil menghormati sepenuhnya integriti sistem antidoping dan proses perundangan.
Kelab itu turut menyambut baik pengakuan bahawa kemajuan dalam piawaian pelaporan saintifik bagi memastikan ujian lebih tepat bermakna sampel Mudryk tidak akan dilaporkan positif sekiranya dianalisis mengikut keperluan teknikal semasa.
Menurut Chelsea, Mudryk secara konsisten menegaskan bahawa dia tidak pernah dengan sengaja atau secara sedar mengambil bahan larangan serta tidak mengetahui bagaimana kesan bahan itu memasuki tubuhnya.
“Misha menunjukkan sikap profesional dan ketabahan sepanjang proses ini, yang tidak syak lagi merupakan antara tempoh paling mencabar dalam kariernya.
“Fokus kami kini adalah untuk membantu Misha kembali menyesuaikan diri dengan pasukan dan meneruskan kariernya,” menurut kelab itu.
Mudryk menerusi Instagram menyifatkan penggantungan berkenaan sebagai tempoh paling sukar dalam kariernya dan melahirkan rasa syukur kerana dapat kembali beraksi.
“Selepas melalui tempoh yang panjang, hukuman penggantungan empat tahun yang dikenakan terhadap saya telah dibatalkan dan saya bebas meneruskan karier serta-merta.
“Saya bersyukur proses ini akhirnya selesai, saya dibenarkan kembali bermain bola sepak dan kini boleh menumpukan perhatian kepada masa depan.
“Ini merupakan tempoh paling sukar dalam karier saya,” katanya.
Ejen Mudryk, Vadim Shablii berkata pemain itu mengharungi tempoh berkenaan dengan penuh ketabahan, profesionalisme dan kekuatan peribadi.
“Terima kasih kepada semua yang terus menyokongnya dan menghormati proses ini. Kini tiba masanya untuk melangkah ke hadapan,” katanya. – Bernama-PA Media/dpa





