LAKSA SARAWAK… Selera Sarawak yang menjadi pilihan ramai.
NEGARA kita mempunyai pelbagai jenis masakan laksa yang terkenal yang digemari oleh setiap lapisan masyarakat.
Antaranya ialah laksa Sarawak, laksa Johor, laksa Kelantan atau laksam dan laksa Penang.
Minggu lalu, terdetik dihati penulis hendak masak laksa Sarawak kerana lama tidak masak sendiri, selalunya makan laksa Sarawak di kedai-kedai makan di pasar Sarikei.
Bahan-bahan untuk memasak laksa Sarawak memang senang diperolehi di pasaran.
Bahan-bahan kuah laksa yang penulis gunakan ialah dada ayam, 200 gram pes laksa Sarawak yang dibeli di pasar raya atau kedai runcit, satu kiub ayam, 300ml santan, 250 gram udang, 2 batang serai (ditumbuk), garam dan serbuk perasa.
Cara penyediaan kuah laksa, basuh dan rebus dada ayam terlebih dahulu, kemudian rebuskan sehingga masak.
Selepas direbus sehingga masak, toskan dan carikkan dada ayam selepas ia sejuk.
Langkah kedua, dengan menggunakan air rebusan dada ayam, celur udang dan rebus kira-kira 1 minit ke 2 minit (terpulang dengan kita sendiri) dan toskan.
Seterusnya masukkan serai, pes laksa Sarawak dan satu kiub ayam ke dalam air rebusan yang sama.
Masak sehingga mendidih, kemudian masukkan santan dan kacau. Jangan lupa kecilkan api.
Langkah terakhir penyediaan kuah laksa ialah taburkan garam secukup rasa dan serbuk perasa, masak untuk seketika dan kemudian matikan api.
Untuk bahan sambal, penulis hanya menggunakan belacan, cili padi yang sudah dikisar dan air limau kesturi.
Caranya ialah tumbuk belacan menggunakan lesung batu, masukkan cili padi secukup rasa mengikut citarasa sendiri dan tambah sedikit air limau kesturi.
Ada juga menggunakan belacan dibakar dan ditumbuk bersama cili sebagai sambal laksa Sarawak.
Jangan lupa sediakan mihun, tak lengkap laksa tanpa mihun. Celur mihun sehingga lembut dan toskan.
Kemudian, goreng telur dadar dan selepas siap, gulung dan potong telur dadar. Ada juga yang menggunakan telur rebus sebagai pengganti telur dadar.
Selepas semua siap disediakan, satukan dalam mangkuk. Masukkan mihun, kuah laksa, udang, telur dadar.
Hias mengikut citarasa sendiri. Boleh masukkan tauge yang telah dicelur dan daun ketumbar.
Letakkan sambal laksa dan limau kesturi tepi mangkuk dan laksa Sarawak sedia untuk dinikmati.
Oleh EARL ANEK