
MIRI: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memuat naik komen bersifat jelik melampau serta menyinggung sensiviti agama Islam berhubung pemergian bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada April tahun lepas.
Hakim Afidah Abdul Rahman yang menjatuhkan hukuman itu terhadap John Mule Alai, 48, turut memerintahkan lelaki berkenaan dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
John didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana dengan sengaja memuat naik penghantaran komunikasi yang sangat melampau dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang, menggunakan akaun Facebook “Bat Tuo Sai”.
Tertuduh selaku pentadbir akaun media sosial itu telah memuat naik komen yang mencerca dan penghinaan terhadap ayat suci al-Quran dan Allahyarham Tun Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah, pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita pemergian beliau.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10.15 pagi, 15 April di sebuah pondok tidak bernombor di tebing Sungai Teru berhampiran Ladang Sungai Lelak, daerah Marudi, dan komen berkenaan dikesan kira-kira 11 malam hari sama di Tingkat 8, Menara 1 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya, Selangor.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dipertimbangkan hukuman ringan dan memberitahu mahkamah bahawa ini adalah kesalahan pertamanya, selain tidak mempunyai keluarga dan menghadapi masalah kewangan.
Timbalan Pendakwa Raya Nazrul Nizam Mohd Zameri dan Nur Nazhzilah Mohammad Hashim dalam hujahnya berkata kepentingan awam perlu didahulukan berbanding kepentingan peribadi tertuduh.
Pihak pendakwaan menyifatkan komen dibuat sebagai sangat menyinggung dan berniat jahat kerana mengejek ayat suci al-Quran serta menghina bekas pemimpin negara secara terbuka semasa liputan berita pemergiannya.
Pendakwaan berhujah bahawa perbuatan itu menghina Islam dan boleh menimbulkan sensitiviti awam serta memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pengajaran selaras dengan trend kes serupa pada 2020, 2022 dan 2024 yang membawa tempoh penjara sekitar enam bulan.
Pihak pendakwaan turut menekankan bahawa pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia telah menaikkan denda maksimum sepuluh kali ganda dan menggandakan tempoh penjara maksimum.
Setelah mengambil kira rayuan pengurangan hukuman tertuduh dan faktor pemudaratan dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan bermula hari ini serta denda RM50,000 yang jika gagal dibayar akan digantikan dengan penjara tiga bulan. – Bernama