MIRI : Kecetekan Muara Batang Baram timbul masalah dan jejaskan operasi perkapalan di Pelabuhan Miri pada masa ini.
Pengerusi Perlabuhan Miri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak ke Lembaga Pelabuhan Miri di Kuala Baram kelmarin.
Katanya, keadaan ini telah menjadikan pengendalian perkhidmatan pelabuhan amat mencabar dan menjejaskan pertumbuhan industri di kawasan Perindustrian Kuala Baram.
“Kami merayu agar Kerajaan Sarawak dapat membantu dalam menyelesaikan isu kedalaman muara Sungai Batang Baram.
“Banyak usaha telah dilakukan bagi mengatasi masalah terbabit dan kami telah menjalankan beberapa kajian serta melihat beberapa pilihan lain,” jelasnya.
Tambahnya, pihak pelabhan juga telah mengemukakan cadangan untuk mendalamkan muara sungai terbabit sejak 20 tahun lalu daripada Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sehingga RMK-12.
“Kami telah mempelbagaikan aktiviti perniagaan dan mencatat keuntungan pada 2019.
“Pada tahun 2020 hingga 2021, kesan penularan Covid-19 telah menyebabkan aktiviti pelabuhan menjadi perlahan dan menyusun kembali strategi pemulihan dengan mendapatkan lebih banyak aktiviti perniagaan dalam sektor minyak dan gas,” katanya lagi.
Turut diadakan ialah satu taklimat Korporat Lembaga Pelabuhan Miri dan lawatan ke Pusat Sumber dan kawasan Operasi Lembaga Pelabuhan Miri.
Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata, Kerajaan Sarawak amat prihatin terhadap pembangunan industri di negeri ini khususnya kesan selepas penularan Covid-19.
Sehubunan itu, Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan Strategi Pembangunan Pasca COVID (PCDS) 2030 bagi memulih dan memacu pertumbuhan sosioekonomi menjelang tahun 2030.
“Dalam konteks industri pelabuhan, kita perlu meningkatkan kapasiti pelabuhan dan produktiviti dari segi perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur pelabuhan.
“Ini dapat dilihat apabila satu kementerian khas telah diwujudkan bagi menjaga pembangunan pelabuhan,” katanya.
Beliau berharap masalah laluan masuk muara Sungai Batang Baram cetek itu dapat diselesaikan segera untuk manfaat semua pengguna terutamanya industri yang beroperasi di kawasan Perindustrian Kuala Baram.
Oleh ADUM LIU