Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • MTUC Sarawak sokong pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017
  • TEMPATAN

MTUC Sarawak sokong pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017

Utusan Sarawak 3 hours ago
ZAIDI Nasar.

KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan Bacaan Pertama Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat pada 3 November lalu.

Pengerusinya, Zaidi Nasar berkata pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) merupakan langkah positif dan tepat pada masanya bagi memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara, khususnya dalam membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat perubahan pasaran buruh dan cabaran ekonomi semasa.

“Penambahbaikan terhadap kadar faedah serta pengenalan faedah baharu seperti Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pekerja.

“Melalui faedah baharu ini, pekerja yang kehilangan pekerjaan akan memperoleh sokongan mobiliti sehingga RM1,000 bagi membantu mereka melapor diri ke pekerjaan baharu yang jauh dari tempat tinggal asal,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, beliau berkata peningkatan kadar Elaun Latihan (EL) kepada RM30 sehari, peningkatan Fi Latihan (FL) kepada RM7,000 serta kadar Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) daripada 25 peratus kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) turut dialu-alukan oleh MTUC Sarawak.

Tambahnya, langkah tersebut bukan sahaja menggalakkan mobiliti tenaga kerja, malah mempercepatkan proses penempatan semula pekerjaan dalam kalangan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang terjejas.

“MTUC Sarawak percaya bahawa pindaan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan sistem perlindungan sosial negara kekal inklusif, mampan dan responsif terhadap keperluan tenaga kerja semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zaidi menggesa agar pelaksanaan pindaan ini dilakukan dengan pendekatan menyeluruh serta melibatkan libat urus berterusan bersama pihak kesatuan sekerja bagi memastikan manfaat yang diperkenalkan benar-benar sampai kepada semua lapisan pekerja di Malaysia.

Beliau yakin pindaan berkenaan akan memperkukuh sistem perlindungan pekerjaan negara, sekali gus meningkatkan keyakinan pekerja terhadap dasar perlindungan sosial kerajaan serta menyumbang kepada kestabilan pasaran kerja di Malaysia.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Sarawak komited perkukuh sistem penjagaan kesihatan – Wilfred Yap
Next: PUSAKA terus teguh berintegriti, lestari memacu industri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.