Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • MTPN Sarawak gesa tindakan terhadap publisiti mengelirukan dalam jualan atas talian
  • Tengah
  • WILAYAH

MTPN Sarawak gesa tindakan terhadap publisiti mengelirukan dalam jualan atas talian

Utusan Sarawak 5 hours ago
RAKAM KENANGAN… Lau (enam kanan) bersama agensi serta pemain industri yang terlibat pada sesi dialog di Sibu semalam.

SIBU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sarawak menegaskan bahawa ekosistem jualan atas talian dan siaran langsung jualan kini memerlukan perhatian serius berikutan peningkatan publisiti mengelirukan serta amalan pemasaran tidak beretika yang menjejaskan kestabilan pasaran.

Yang Di-Pertuanya, Lucas Lau, berkata walaupun majoriti penggiat industri termasuk pempengaruh (KOL) dan penjual dalam talian mengamalkan etika perniagaan yang baik, masih wujud segelintir kecil yang menggunakan taktik keterlaluan dan manipu­latif semata-mata untuk melariskan jualan.

“Segelintir ini ibarat nila setitik yang bukan sahaja menghakis kepercayaan pengguna dan merosakkan reputasi jenama, malah mengancam kelestarian ekonomi digital negara,” katanya pada Sesi Dialog Bersama Rakan Strategik & Pemain Industri di sini semalam.

Menurutnya, pempengaruh masa kini bukan sekadar pencipta kandungan tetapi menjadi rujukan dan suri teladan kepada generasi muda, khususnya Gen Z dan Gen Alpha yang membesar dalam dunia digital.

Justeru, setiap kandungan yang disampaikan perlu mematuhi nilai etika dan tanggungjawab sosial.

“Kandungan tidak beretika boleh menjejaskan pemikiran satu generasi. Tetapi jika positif, ia mampu membentuk masa depan negara yang lebih baik,” tegasnya.

MTPN menekankan bahawa perlindungan lebih menyeluruh terhadap pengguna hanya boleh dicapai dengan kerjasama erat antara kerajaan, organisasi pengguna, masyarakat dan pihak industri digital.

Di peringkat kerajaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilihat terus memperkukuh aspek pengawalseliaan, termasuk penyeragaman kandungan dan tanggungjawab platform digital.

SKMM turut memainkan peranan sebagai “guardian” kepada infrastruktur komunikasi negara bagi memastikan ruang digital kekal selamat.

Sementara itu, MTPN memberi fokus kepada pemerkasaan pengguna melalui pendidikan, bagi melahirkan pengguna bijak yang mampu menilai kredibiliti penjual, mengesahkan maklumat produk dan menghindari pembelian impulsif.

Dalam pada itu, MTPN Sarawak turut mengalu-alukan pempengaruh dan penjual dalam talian yang bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan agensi tersebut.

Melalui mekanisme dialog berstruktur, MTPN berharap dapat mengumpul cadangan, isu dan pandangan daripada barisan hadapan industri.

Input langsung pemain industri, jelas Lucas, penting untuk merangka dasar yang adil yang bukan sahaja melindungi pengguna, tetapi turut memastikan keperluan perniagaan yang sah diimbangi demi memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.

Sebagai langkah ke hadapan, MTPN mencadangkan agar penggiat industri jualan langsung dalam talian mengikuti kursus berkaitan etika penyiaran dan prosedur operasi standard (SOP).

Pengetahuan profesional ini, menurutnya, mampu meningkatkan mutu penyampaian, mengelak penularan maklumat palsu dan memartabatkan mereka sebagai golongan profesional yang dihormati.

MTPN yakin hanya melalui perkongsian tanggungjawab seluruh rantaian ekosistem termasuk kerajaan, platform, pempengaruh, perniagaan dan pengguna mampu mewujudkan persekitaran e-dagang yang lebih sihat, telus dan progresif.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Wanita PBB Bukit Sari anjur ceramah agama, serah sumbangan kerusi di Zon Punang
Next: Pelabuhan Bintulu tingkat kecekapan dan kelestarian dengan teknologi digital

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.