
SARIKEI: Trend air surut direkodkan di Jalan Jubli Mutiara ketika rondaan pemantauan Monsun Timur Laut (MTL) pada tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, berkata pemantauan dijalankan pada 12.04 tengah malam oleh dua anggota bomba.
“Sepanjang pemantauan di lokasi yang berisiko banjir, anggota bomba mendapati keadaan adalah terkawal.
“Cuaca baik dan air sedang surut di lokasi pemantauan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, tiada panggilan kecemasan diterima sepanjang rondaan dijalankan.
“Pihak kami akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bagi menilai perubahan paras air sepanjang musim MTL,” katanya.
Oleh Earl Anek