
SIMANGGANG: Skuad Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Samarahan berjaya melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan MSSB Limbang dalam aksi separuh akhir Kejohanan Bola Sepak MSS Sarawak 2025 Bawah 12 Tahun di Padang KPSU Lama Sri Aman, petang tadi.
Dalam perlawanan tersebut, MSSB Samarahan yang dipimpin oleh Steve Grey Sidu berjaya menewaskan MSSB Limbang 2-1 melalui penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
“Syukur, pasukan MSSB Samarahan telahpun berada di landasan terbaik dan berjaya mengulangi pencapaian pada 2023 di Bumi Simanggang dengan melangkah kaki ke perlawanan akhir pada edisi kali ini.
“Kejayaan ini adalah untuk semua pemain serta jurulatih dan pengurusan pasukan yang tidak henti-henti memberikan sokongan moral dan kata-kata semangat kepada pemain,” kata Pengurus pasukan MSSB Samarahan, Ryan Sedino Dehu @ Richard Neru kepada Utusan Sarawak.
Ryan berkata tuah penalti sekali lagi memihak kepada pasukannya dalam perlawanan yang penuh dramatik petang tadi.
“Momentum awal pasukan sukar untuk diteruskan walaupun kami menguasai bola pada awal permainan. Semangat melawan pemain memang sukar ditandingi diiringi bimbingan barisan jurulatih Steve Grey, Jackson Nalai, Ammar Mukmin dan Doniwadi, gol penyamaan berjaya diperolehi,” katanya.
Dalam pada itu, Ryan menambah penyerang berbisa MSSB Samarahan, Khairil Azren Yasrizal terus menunjukkan ketajaman penyudahnya apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-15 selepas dikejutkan oleh gol John Chester Stia daripada MSSB Limbang pada minit ke-10.
Khairil Azren kini berjaya menjaringkan sebanyak lapan gol daripada lima perlawanan, menjadikannya sebagai penjaring terbanyak sepanjang kejohanan setakat ini.
Menjelang perlawanan akhir menentang MSSB Kuching petang esok, Ryan menjelaskan skuadnya hanya tampil sebagai status pasukan ‘pesaing lemah’ dan akan memberikan sehabis baik demi kejayaan MSSB Samarahan dan kemenjadian pemain-pemain ke peringkat yang lebih tinggi.
“Dengan iringan dan sokongon segenap masyarakat Kota Samarahan, kejayaan 2023 untuk bergelar juara tidak mustahil akan diulangi semula,” ujarnya.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, MSSB Kuching mudah menewaskan MSSB Bintulu dengan jaringan 2-0 di Kompeks Sukan Sri Aman, petang tadi.
Perlawanan akhir diantara MSSB Samarahan dan MSSB Kuching akan dilangsungkan pada 3.00 petang esok di Kompleks Sukan Sri Aman.
Manakala perebutan ditempat ketiga yang menemukan MSSB Bintulu menentang MSSB Limbang akan dilangsungkan pada 8.00 pagi di Padang KPSU Lama Sri Aman.
Oleh Adi Safarman