
SIMANGGANG: Skuad Majlis Sekolah Bahagian (MSSB) Samarahan memulakan kempen Kejohanan Bola Sepak MSS Sarawak 2025 Bawah 12 Tahun dengan penuh bergaya apabila membenam MSSB Serian 4-1 pada aksi pembuka tirai di Padang KPSU Lama, pagi tadi.
Walaupun dikejutkan jaringan awal MSSB Serian oleh Cleverly B.AV. Denver pada minit ketujuh, skuad bimbingan Steve Grey Sidu bangkit garang melalui penyerang sensasi Khairil Azriel yang meledak hatrik pada minit ke-12, 15 dan 26. Satu lagi gol disumbangkan Luqman Hakim pada minit ke-19.
Pengurus pasukan, Ryan Sedino Dehu @ Richard Neru, berkata skuadnya menunjukkan karakter dan semangat juang tinggi untuk bangkit selepas ketinggalan.
“Satu permulaan yang cukup hebat. Pemain bermain habis-habisan hingga wisel penamat, menunjukkan komitmen dan kesungguhan memburu kemenangan,” katanya kepada Utusan Sarawak, hari ini.
Ryan mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum pertemuan menentang tuan rumah, Sri Aman, pada 2.15 petang ini.
“Bagi saya, bukan jumlah peluang yang dicipta menjadi keutamaan… yang lebih penting adalah memastikan tiga mata diraih,” tegasnya.
Tambah beliau, sasaran utama skuad MSSB Samarahan pada tahun ini adalah untuk mengulangi kejayaan menjuarai semula kejohanan ini pada 2023 di Bumi Simanggang dan fokus kepada kemenjadian murid ke peringkat lebih tinggi.
Oleh Adi Safarman