
SIMANGGANG: Skuad Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Samarahan terus melakar kemenangan apabila membenam kemaraan pasukan tuan rumah, MSSB Sri Aman 4-1, dalam Kejohanan Bola Sepak MSS Sarawak 2025 Bawah 12 Tahun di Kompleks Sukan Sri Aman, petang tadi.
Penyerang berbiasa MSSB Samarahan, Khairil Azrien Yasrizal sekali lagi meledak hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ke-13,18 dan 30 sambil satu lagi gol dijaringkan oleh Awang Elfiey Hadief pada minit ke-26 manakala satu gol tuan rumah dijaringkan oleh Andros Azie Rockie.
Pengurus pasukan, Ryan Sedino Dehu @ Richard Neru, berkata kemenangan kedua berturut-turut hari ini adalah kemenangan yang penting bagi pasukan dalam misi melayakkan ke peringkat seterusnya.
“Kita menghormati kekuatan pasukan tuan rumah dan berjaya menyerap tekanan awal. Fokus kepada gaya permainan sendiri menjadi kunci memperolehi tiga mata berharga menentang tuan rumah.
“Saya gembira dengan kesungguhan pemain yang tidak kenal erti berputus asa untuk mengekalkan kemenangan buat pasukan,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Ryan berkata beliau mahu skuad kendalian Steve Grey Sidu itu terus kekal konsisten dengan kemenangan bagi menempuhi baki perlawanan seterusnya esok.
“Para pemain disaran tidak berasa selesa atau terus dibuai mimpi indah dengan dua kemenangan yang diperolehi pada hari ini, dan perlu mempertingkatkan momentum untuk perlawanan seterusnya terutamanya menentang pencabar utama, MSSB Kuching.
“Fokus seterusnya adalah kepada dua perlawanan penting esok iaitu menentang MSSB Kuching (8.30 pagi) dan MSSB Kapit (3.30 petang),” ujarnya.
Mengenai penyerang berbisa MSSB Samarahan, Khairil Azrien Yasrizal, Ryan menjelaskan pemain itu menunjukkan prestasi yang mengagumkan apabila mengumpul sebanyak enam gol pada aksi hari pertama hari ini, dan berharap prestasi cemerlang itu dapat diteruskan pada esok.
Oleh Adi Safarman