KUCHING: Majlis Seni Sarawak (MSS) perlu mengetengahkan keunikan kebudayaan setiap 34 suku kaum di negeri ini di peringkat antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keunikan tersebut perlu dipersembahkan dalam acara seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).
“Kita perlu memberi perhatian kepada setiap suku kaum yang ada di negeri ini dan tidak melupakan mereka.
“Dengan itu, segala yang mereka miliki, termasuk tarian dan budaya masing-masing, dapat dipersembahkan di peringkat antarabangsa.
“MSS di bawah kementerian saya. Jadi, saya mengarahkan mereka untuk memberi perhatian kepada perkara ini dan cuba mengetengahkan serta mempersembahkan budaya tersebut dalam acara seperti RWMF,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Festival Gendang Sarawak 2024 di Tebingan Sungai Kuching di sini, semalam.
Tambah Abdul Karim, usaha tersebut juga selaras dengan hasrat Tun Wan Junaidi untuk membawa kebudayaan setiap suku kaum ke peringkat antarabangsa.
“Tun berpesan kepada saya dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa, dengan 34 suku kaum di Sarawak, setiap kaum mempunyai budaya, cara hidup, dan makanan yang tersendiri.
“Oleh itu, budaya tersebut perlu dilihat dan mungkin didokumentasikan. Jadi, kita perlu mengetengahkan setiap satu (kaum),” katanya.
Abdul Karim berkata, semua usaha tersebut bakal dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Saya teringat bahawa Premier Sarawak pernah menyampaikan kepada Kabinet Sarawak agar memulakan festival kebudayaan yang berpotensi menjadi acara kebudayaan bertaraf antarabangsa di masa hadapan.
“Jadi, kita akan menyaksikan usaha ini dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal