Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • MSN sasar 70 peratus atlet naik podium di Sukan SEA 2027
  • SUKAN

MSN sasar 70 peratus atlet naik podium di Sukan SEA 2027

Utusan Sarawak 5 hours ago
KETUA Pengarah MSN Jefri Ngadirin. Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus atlet negara menamatkan saingan di podium pada Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur pada 18 hingga 29 September tahun depan. 

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata, pencapaian itu berdasarkan pembentangan status pelaksanaan program persediaan atlet termasuk Program Podium dan Program Para pada Mesyuarat Jawatankuasa Perjalanan Atlet kali kedua, hari ini.

Beliau berkata, pembentangan itu turut menjelaskan penilaian prestasi atlet menerusi kedudukan ranking dunia serta pencapaian pada peringkat dunia, Asia dan Sukan SEA.

“Perkara ini telah dibentangkan dan nampaknya kita berada dalam kemajuan yang bagus ke arah sasaran tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di MSN, di sini. 

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri wakil daripada Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain kedua-dua Chef de Mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan SEA 2027. 

Jefri berkata, MSN juga akan mewujudkan tiga kluster perkampungan sukan di Sarawak, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bagi menyediakan perkhidmatan sokongan secara bersepadu kepada atlet menjelang temasya itu.

Beliau berkata, perkampungan sukan berkenaan akan menempatkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung termasuk ISN bagi memastikan atlet menerima sokongan menyeluruh atau ‘360 darjah’ sepanjang temasya berlangsung.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia turut memohon kepada pihak penganjur supaya kontinjen negara ditempatkan di hotel yang berasingan dari negara lain bagi memudahkan penyelarasan operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada atlet.

“Sebenarnya tiada penambahan kos yang banyak memandangkan penginapan memang disediakan oleh pihak penganjur. Cuma kita minta hotel itu berasingan untuk Malaysia sahaja,” katanya.

Sementara itu, Jefri berkata, MSN turut menubuhkan panel penilaian dan audit prestasi bagi memantau pelaksanaan program persediaan atlet secara objektif yang akan dipengerusikan oleh bekas atlet negara Datuk Marina Chin.

Beliau berkata, penubuhan panel bebas itu bertujuan mengelakkan konflik kepentingan sekiranya penilaian dibuat oleh MSN sendiri, selain memastikan pemantauan dan audit prestasi program dilakukan secara telus serta berkesan menjelang Sukan SEA 2027.

Jefri berkata lawatan rasmi CDM ke pusat-pusat latihan bagi sukan yang tidak terlibat dalam Sukan Asia 2026 di Nagoya akan bermula selepas Sukan Komanwel tahun depan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung tentang keperluan dan cabaran yang dihadapi setiap persatuan sukan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Bekas pengendali Benfica, Jorge Jesus ganti Martinez sebagai ketua jurulatih Portugal
Next: Garcia tidak bimbang sambutan dingin penyokong AS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.