
LIMBANG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berharap Kerajaan Persekutuan dapat membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini dalam usaha menjadikan utara Sarawak hab pendidikan di negeri ini.
Menurutnya, walaupun projek ini disokong untuk meningkatkan pendidikan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di utara Sarawak, ia mengalami kelewatan berbanding perancangan asal sejak bekas Yang di-Pertua Negeri, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebelum ini.
Katanya, projek ini dianggap strategik oleh kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam kalangan anak tempatan.
“MRSM Lawas sudah dilulus sejak zaman pentadbiran Allahyarham Tun Taib dan tanah sudah diberi, namun sampai saat ini belum ada tanda projek dimulakan,
“Kita minta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof melihat perkara ini sejajar hasrat dan azam kita menjadikan Limbang dan Lawas hab pendidikan, pusat meningkatkan kemahiran dan keupayaan masyarakat di utara Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Limbang di Kompleks Sukan Limbang hari ini.
Katanya, pembangunan infrastruktur Bahagian Limbang dan Lawas sedang dan akan dilaksanakan amat signifikan.
“Pelaksanaan projek Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH), Rangkaian Jalan Raya Sarawak-Sabah (SSLR) serta jalan luar bandar akan terus meningkatkan tahap kesalinghubungan darat atau perhubungan jakan di kawasan ini.
“Dalam masa yang sama, pembinaan Lapangan Terbang Lawas yang baharu serta pembesaran Lapangan Terbang Limbang akan memperkukuhkan perhubungan udara. Ini membuka ruang kepada pergerakan yang lebih efisien bagi rakyat dan pelabur,” katanya.
Mengulas lanjut katanya cadangan pembinaan Pelabuhan Laut Dalam pula akan meningkatkan perhubungan laut sekali gus menjadikan kawasan ini lebih kompetitif dari segi logistik dan perdagangan.
“Bekalan elektrik di Lawas kini telah disambungkan ke rangkaian grid negeri, dan kita berharap Limbang juga akan disambungkan dalam masa terdekat. Sistem telekomunikasi juga akan terus diperluaskan.
“Dengan segala kemudahan ini, kita yakin pembangunan di Limbang dan Lawas dapat dipercepatkan dengan lebih pesat,” ujarnya.
Jelasnya, Sarawak di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mencatat pencapaian yang amat membanggakan.
“Pendapatan negeri telah melonjak daripada sekitar RM6.5 bilion kepada lebih RM14 bilion. Ini bukan sekadar angka ini adalah asas kekuatan kita untuk membina masa depan Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata dari segi pembangunan infrastruktur, pelaksanaan projek jalan raya, bekalan elektrik dan kemudahan asas terus diperkasakan. Ini termasuk jaringan jalan yang semakin meluas, serta usaha berterusan untuk memastikan bekalan elektrik sampai ke seluruh pelosok negeri.
Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan tetamu kehormat lain.
Oleh Adeng Edrus