PELANCARAN rasmi Kampus Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu baru-baru ini merupakan satu pencapaian bermakna dalam usaha menyediakan pendidikan berkualiti sekali gus merangsang minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Melalui kolaborasi antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Yayasan Sarawak dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), pembinaan kampus MRSM dapat terlaksana.
Kampus MRSM Bintulu dibina dengan kos RM122 juta itu merupakan MRSM keempat di Bumi Kenyalang selepas MRSM Kuching, Mukah dan Betong, dan ia bakal beroperasi pada Mac tahun depan.
Ia dibina di atas tanah berkeluasan 22,000 meter persegi dan mempunyai kapasiti 450 pelajar serta dilengkapi dengan prasarana terkini yang seiring dengan perkembangan teknologi.
Berucap ketika merasmikan fasiliti itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kampus MRSM Bintulu boleh dijadikan sebagai hab penting dalam menyediakan anak Sarawak yang berkemahiran serta memupuk bakat baharu dalam bidang STEM.
“Kampus MRSM Bintulu ini kelak akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan masa depan yang mampan untuk bakat muda di Sarawak,” katanya.
LAHIRKAN MODAL INSAN BERKEMAHIRAN
Sementara itu, ketika ditemui, Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia PETRONAS, Farehana Hanapiah berkata, minat pelajar untuk menerokai bidang STEM di peringkat sekolah adalah penting bagi pembangunan modal insan.
Katanya lagi, usahasama antara PETRONAS dengan kerajaan Sarawak dan MARA ini selaras dengan aspirasi bersama untuk melahirkan bakat-bakat yang berketerampilan terutama dalam STEM.
“Sebagai syarikat tenaga dan penyelesaian progresif, kami amat menitikberatkan pembangunan modal insan pada semua peringkat agar dapat melahirkan bakat yang mampan dan bagi industri dan juga negara.
“Inisiatif ini juga bertujuan membangunkan bakat tempatan serta menggalakkan kemajuan serantau di Sarawak,” katanya selepas majlis perasmian Kampus MRSM Bintulu baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau percaya kampus MRSM Bintulu mampu memberi impak kepada pembangunan industri tenaga mampan yang sedang giat diusahakan oleh kerajaan Sarawak.
“Oleh itu, kemudahan pendidikan yang lengkap seperti ini amat diperlukan bagi menarik minat pelajar terhadap subjek berkaitan STEM dan menyuntik semangat pelajar untuk menceburi bidang sains dan lain-lain di peringkat universiti.
“Untuk Sarawak, ia sangat penting kerana negeri ini giat melabur ke arah pembangunan teknologi.
“Negeri ini juga mempunyai banyak sumber asli yang telah diterokai yang memerlukan lebih ramai jurutera serta saintis bagi menghasilkan teknologi yang lebih inovatif dalam memastikan wujudnya industri tenaga mampan jangka panjang yang akan menyokong ekonomi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR DAN TENAGA PENGAJAR MRSM
Kemudahan lengkap seperti makmal sains, peralatan makmal dan bilik seminar adalah penting bagi memastikan pelajar MRSM Bintulu mendapatkan pendidikan berkualiti serta situasi pembelajaran dan pengajaran yang kondusif.
Menurut Farehana, pembinaan Kampus MRSM Bintulu yang dibangunkan dengan dana RM122 juta itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi memastikan pelajar mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan.
“Ia (kampus MRSM Bintulu) dilengkapi dengan blok akademik, asrama, penempatan pelajar dan guru-guru serta kemudahan pembelajaran dan pengajaran seperti pusat sumber, dewan serbaguna, dewan makan, surau dan pusat kegiatan pelajar.
Katanya, bukan sahaja peralatan lengkap untuk pelajar, malah kerjasama semua pihak ini juga termasuk memastikan guru yang mengajar di sekolah terbabit adalah daripada kalangan yang terbaik.
“Selain infrastruktur yang lengkap, kami juga menyediakan bilik seminar dan makmal yang dilengkapi sepenuhnya dengan peralatan terkini.
“Kami bekerjasama rapat dengan MRSM Bintulu dan pihak-pihak yang komited bersama kami membawa guru-guru terbaik untuk menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar MRSM Bintulu,” katanya.
SUMBANGAN LAIN PETRONAS
Sementara itu, menurut Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, sejak 1995, PETRONAS telah melabur sekitar RM556 juta untuk program pendidikan dan memberi manfaat kepada lebih 490,000 pelajar dan institusi pendidikan di Sarawak menerusi pelbagai program dengan sokongan kerajaan negeri.
Antara program tersebut termasuk pembinaan Asrama Harian Luar Bandar yang mampu menempatkan seramai 120 pelajar sekolah rendah di Paloh, penajaan untuk pelajar Sarawak yang melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka sama ada di dalam atau di luar negara dan Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GEES), dengan lebih 700 graduan Sarawak mendapat manfaat menerusi program tersebut.
Seramai 119 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sarawak juga telah dianugerahkan tajaan di bawah program PETRONAS Memperkasakan Ilmu tahun ini .
Bakke berkata, selain itu, kepentingan latihan vokasional dan teknikal (TVET) juga turut ditekankan melalui Program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) yang dilaksanakan oleh PETRONAS.
“Program VISTA penting untuk melahirkan tenaga kerja teknikal yang berkemahiran tinggi dalam sektor minyak dan gas.
“Untuk 2023 hingga 2026, kami merancang untuk bekerjasama dengan 21 institusi TVET di seluruh negara termasuk enam di Sarawak untuk menjayakan lagi program VISTA ini,” jelasnya.
Memandangkan bidang STEM sangat penting sebagai salah satu tonggak pembangunan negara, PETRONAS juga telah memperkenalkan Discover Petronas@ Schools (DPS).
“Sehingga kini, lebih 1,100 pelajar di Kota Samarahan, Mukah dan Miri mendapat peluang, terutamanya sebagai pengenalan kepada industri minyak dan gas,” katanya.
Seramai 400 pelajar dari Bintulu, Tatau dan Sebauh juga berpeluang menjadi sebahagian daripada program DPS di Gelanggang Futsal MRSM Bintulu.