MRP RM70,000 perkasa aktiviti komuniti di Marudi 

Facebook
WhatsApp
TERIMA KASIH…Datuk Dr Penguang Manggil bergambar bersama penerima cek MRP.

MARUDI: Sejumlah RM70,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada enam pertubuhan dan organisasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Penyerahan cek MRP tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, di Pusat Khidmat DUN Marudi.

Penguang berharap peruntukan yang disalurkan itu dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pertubuhan dan organisasi penerima bagi melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Peruntukan ini diharapkan dapat membantu pertubuhan dan organisasi terbabit menjalankan aktiviti masing-masing, sekali gus memberi impak positif kepada komuniti di kawasan Marudi,” katanya.

Antara organisasi yang menerima peruntukan tersebut ialah Persatuan Guru Besar Malaysia Baram sebanyak RM10,000, Hakka Community Association (RM15,000) dan Persatuan Kebajikan Islam Perubatan (PERKIP) Cawangan Marudi (RM15,000).

Turut menerima peruntukan ialah Kelab Polis Baram (RM10,000), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cina Marudi (RM10,000) serta JKKK Kampung Pemindahan Marudi (RM10,000).

Pengagihan peruntukan MRP berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong peranan pertubuhan masyarakat sebagai penggerak aktiviti komuniti, kebajikan dan pembangunan setempat.

Melalui sokongan tersebut, pertubuhan terbabit diharap dapat terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat serta melaksanakan program yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di kawasan DUN Marudi.

Oleh Jiku Juguong