Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • MRGEC 2026 perkukuh kerjasama, kongsi kepakaran geoteknikal serantau
  • SEMASA

MRGEC 2026 perkukuh kerjasama, kongsi kepakaran geoteknikal serantau

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATO Sri Alexander Nanta Linggi menerima cenderamata sempena Majlis Perasmian Persidangan Kejuruteraan Geoteknikal Serantau Malaysia (MRGEC) 2026 di sebuah hotel di Kuching hari ini.

KUCHING: Persidangan Kejuruteraan Geoteknikal Serantau Malaysia (MRGEC) 2026 yang julung kali dianjurkan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama, perkongsian ilmu dan kecemerlangan bidang kejuruteraan geoteknikal dalam menghadapi cabaran pembangunan infrastruktur negara.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata persidangan yang menghimpunkan hampir 600 peserta, pempamer dan pengamal industri itu mencerminkan komitmen tinggi semua pihak dalam meningkatkan standard kejuruteraan geoteknikal negara.

Menurut beliau, tema ‘Tanah Berdaya Tahan, Masa Depan Lestari’ amat bertepatan dengan keperluan semasa memandangkan Malaysia dan rantau Asia Tenggara berdepan pelbagai cabaran geologi termasuk keadaan tanah tropika yang kompleks serta peningkatan kejadian cuaca ekstrem akibat perubahan iklim.

“Kegagalan geoteknikal seperti tanah runtuh bukan sahaja mengakibatkan kos pemulihan yang tinggi, malah boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

GIMIK… Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyempurnakan gimik perasmian Persidangan Kejuruteraan Geoteknikal Serantau Malaysia (MRGEC) 2026 di sebuah hotel di Kuching, hari ini.

“Justeru, segala pengetahuan dan hasil penyelidikan yang dikongsi sepanjang persidangan ini perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan MRGEC 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Cassidy Morris berkata persidangan pertama seumpamanya itu merupakan satu pencapaian penting bagi industri geoteknikal negara dan diharap dapat diteruskan pada masa hadapan.

Beliau berkata bidang geoteknikal memainkan peranan kritikal dalam setiap projek pembangunan kerana menjadi asas kepada proses reka bentuk dan pelaksanaan sesuatu projek infrastruktur.

“Malaysia mempunyai pelbagai cabaran geoteknikal yang unik. Di Sarawak, kita berdepan kawasan tanah gambut, tanah lembut dan dataran rendah, manakala Sabah pula mempunyai cabaran geologi yang berbeza.

“Tanpa kepakaran geoteknikal, sesuatu projek tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Sebab itu bidang ini amat penting dan signifikan kepada pembangunan negara,” katanya.

Tambah beliau, persidangan berkenaan turut menampilkan penyertaan pakar, penyelidik dan pengamal industri dari Malaysia serta beberapa negara jiran bagi berkongsi pengalaman, kajian dan amalan terbaik dalam bidang kejuruteraan geoteknikal.

MRGEC 2026 dianjurkan oleh JKR Sarawak dengan kerjasama JKR Sabah, JKR Malaysia dan Kementerian Kerja Raya serta mendapat sokongan Persatuan-TA Geoteknikal Malaysia, Malaysian Pavement Technical Group dan Institusi Jurutera Malaysia.

Persidangan selama tiga hari itu menampilkan pelbagai sesi teknikal, bengkel serta pembentangan yang memfokuskan penyelesaian inovatif bagi memperkukuh daya tahan infrastruktur dan pembangunan mampan negara.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: RM900 juta diperuntuk baik pulih laluan kritikal Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak
Next: Dakwaan 30,000 pelajar masuk UA ikut pintu belakang tuduhan berat – Zambry

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.