KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal, bagi menggerakkan bantuan kecemasan kepada masyarakat yang terjejas akibat banjir besar yang melanda beberapa wilayah di negara berkenaan.
Presiden MRA Khairil Annuar Khalid berkata tabung itu, diwujudkan bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan kepada komuniti terjejas dengan memberi keutamaan kepada keperluan asas semasa fasa awal kecemasan.
Beliau berkata antara bantuan yang dirancang termasuk makanan, bekalan air bersih serta keperluan air, sanitasi dan kebersihan, kit kebersihan dan bayi, bantuan perubatan serta pembinaan musala sementara bagi komuniti Muslim yang terjejas.
“Keperluan terhadap makanan, air bersih, tempat perlindungan, perkhidmatan kesihatan dan barangan keperluan asas keluarga semakin mendesak. Sehubungan dengan itu, MRA mengambil inisiatif untuk melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairil berkata berdasarkan perkembangan sehingga 31 Ogos, sekurang-kurangnya 939 mayat telah ditemukan manakala kira-kira 3,925 orang dilaporkan masih terputus hubungan, dengan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menganggarkan sekitar 93,000 penduduk mungkin terjejas akibat bencana itu.
Beliau berkata angka itu masih boleh berubah, memandangkan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, selain terdapat kawasan yang sukar diakses.
“Banjir deras itu turut memusnahkan dan merosakkan kediaman, jalan raya, jambatan, sekolah, kemudahan kesihatan, kawasan pertanian serta infrastruktur hidroelektrik, sekali gus menyukarkan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke kawasan yang paling teruk terjejas.
“Sehubungan dengan itu, MRA menyeru rakyat Malaysia, sektor korporat, institusi, masjid dan surau, pertubuhan masyarakat sivil serta seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun rasmi Malaysian Relief Agency Berhad di Maybank (5640 9820 8020) atau Alliance Bank (6410 8001 002 4389).
Dalam kejadian pada 26 Ogos lepas, banjir kilat berskala besar melanda Daerah Rasuwa di utara Nepal dan turut menjejaskan kawasan Nuwakot, Dhading, Gorkha serta kawasan hilir.
Penilaian awal oleh pihak berkuasa dan agensi kemanusiaan menunjukkan kejadian itu dipercayai berkaitan dengan ketidakstabilan ais atau glasier di kawasan pergunungan tinggi, yang menyebabkan aliran sungai tersekat sebelum berlaku pelepasan air secara mendadak.- Bernama




