
DARO: Mahrajan al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (MQNKSS) menjadi platform penting dalam mencungkil bakat murid di samping memperkukuhkan penghayatan terhadap ajaran al-Quran serta nilai-nilai Islam.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penganjuran program itu turut berperanan membentuk sahsiah unggul dalam kalangan murid menerusi penglibatan dalam bidang tilawah, hafazan, nasyid dan seni khat.
“Murid-murid digalakkan untuk terus mendekati dan menghayati al-Quran melalui seni nasyid dan khat sebagai asas pembentukan sahsiah unggul,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Mahrajan al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (MQNKSS) Peringkat Bahagian Mukah Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong, semalam.
Program yang mengangkat tema ‘Adab dan Nilai Nadi Reformasi Pendidikan’ itu menghimpunkan penyertaan dari daerah di bawah Bahagian Mukah melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah Daro, Dalat dan Mukah merangkumi sekolah rendah serta menengah.
Oleh Akun Giman