
SIBU: Orang ramai yang bercadang untuk beriadah di Kolam Renang Delta pada 6 Oktober ini diminta menyusun semula jadual mereka susulan perubahan waktu operasi kolam tersebut sempena sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh (Pesta Kuih Bulan).
Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kolam renang berkenaan hanya akan dibuka dari 4.00 petang hingga 6.00 petang pada tarikh tersebut sebelum ditutup sepenuhnya bagi memberi laluan kepada penganjuran program perayaan.
“MPS memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Waktu operasi kolam akan kembali seperti biasa pada 7 Oktober.
Perayaan Pertengahan Musim Luruh merupakan antara perayaan penting masyarakat Tionghua yang diraikan dengan pelbagai aktiviti budaya, jamuan keluarga dan persembahan tradisi.
Orang ramai disaran mengikuti saluran rasmi MPS bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung sebarang perubahan perkhidmatan di bawah pihak berkuasa tempatan itu.
Oleh Tarani Lanting