

TINDAKAN BERTERUSAN… MPS melakukan tindakan secara berterusan membanteras aktiviti iklan haram pemberi pinjaman wang tanpa lesen di seluruh kawasan Sibu.
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah menyita sebanyak 8,175 iklan haram pemberi pinjaman wang tanpa lesen di seluruh kawasan Sibu sejak Januari lalu hingga malam 11 Ogos lalu.
Timbalan Pengerusi MPS, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, berkata tindakan itu dilaksanakan secara berterusan tanpa mengira masa bagi membanteras aktiviti berkenaan.
“Peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak adalah terhad kepada kerja-kerja penyitaan iklan haram sahaja.
“Ribuan terima kasih kepada penguat kuasa MPS atas usaha berterusan mereka, sama ada siang atau malam,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperlukan untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula berperanan menjejak nombor telefon yang dipaparkan pada iklan haram itu.
Menurutnya, isu berkenaan akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Mesyuarat Antara Agensi pada 14 Ogos ini bagi mencari penyelesaian bersama.
“MPS menggesa masyarakat agar tidak menghubungi atau menggunakan khidmat pemberi pinjaman wang tanpa lesen dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak aktiviti sedemikian,” ujarnya.
Oleh Akun Giman