SIBU: Jawatankuasa Tetap Kawalan Bangunan dan Pengindahan Bandar Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan terus memastikan keselamatan dan keselasaan menjadi keutamaan dalam menaiktaraf kemudahan taman-taman persahabatan di sekitar bandar ini.
Pengerusi jawatankuasa, Kaunselor Joseph Chieng berkata, usaha menaiktaraf kemudahan di taman-taman persahabatan perlu kerana ia adalah keperluan kepada orang ramai untuk beriadah.
“Kami mempunyai 15 buah taman persahabatan di Sibu yang menyediakan kawasan kemudahan riadah kepada orang ramai. Maka, usaha menaiktaraf perlu dilakukan untuk mewujudkan tempat riadah lebih selesa dan selamat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke Hin Hua Centennial Memorial Park di sini, semalam.
Menurutnya, MPS sedang melakukan tinjauan bagi mengenal pasti masalah kemudahan di taman-taman persahabatan dan tindakan segera perlu dilakukan untuk kemudahan yang mengalami kerosakan teruk dan berbahaya kepada orang ramai yang beriadah.
“Kami akan memastikan keselamatan dan keselesaan menjadi keutaman dalam menaiktaraf taman-taman persahabatan,” ujarnya.
Chieng memberitahu, hasil tinjauan mendapati Hin Hua Centennial Memorial Park mengalami masalah perparitan menjadi isu utama, diikuti kemudahan tadahan air hujan, menyediakan kemudahan kesihatan warga emas untuk beriadah, menambah baik kemudahan tandas kepada mesra warga emas dan mengecat semula garisan tempat letak kereta.
Beliau menegaskan, MPS tidak teragak-agak untuk menutup gelanggang bola keranjang yang masih dijadikan tempat perlawanan tanpa kebenaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.
“Kami ada menerima beberapa aduan orang ramai berkenaan perlawanan tanpa kebenaran di gelanggang bola keranjang . Kami telah memberi nasihat, namun jika masih berdegil, kami akan mengambil tindakan menutup gelanggang.
“Ini kerana MPS tidak membenarkan sebarang perlawanan diadakan sepanjang tempoh PKP. Perlawanan melibatkan sentuhan dilarang. Kami berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dalam usaha mengekang penularan Covid-19,” ujar beliau.
Hin Hua Centennial Memorial Park yang dibina pada tahun 2002 oleh Persatuan Hin Hua Pou Sen Sibu dan diuruskan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seduan.
Turut hadir ialah ahli Jawatankuasa Tetap Kawalan Bandar dan Pengindahan Bandar, Kaunselor Anna Lau dan Kaunselor Albert Tiang, Pengerusi Hin Hua Pou Sen Sibu, Lu Muong Huat dan Pengerusi KRT Taman Seduan, Yong Ing Kai.
Oleh Akun Giman