
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) berharap orang ramai terus bersabar serta menyalurkan maklum balas berhubung pelaksanaan sistem parkir pintar menerusi aplikasi SMC Cares yang dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Julai lalu.
Pengerusinya, Clarence Ting Ing Horh, berkata sistem itu melalui proses tender terbuka pada Julai 2025 sebelum mula dilaksanakan pada 1 Januari tahun ini, dengan tempoh peralihan selama enam bulan yang membolehkan pengguna terus menggunakan kupon parkir sehingga 30 Jun.
“Penggunaan kupon dihentikan selepas tamat tempoh peralihan kerana proses mencetak kupon baharu mengambil masa sehingga tiga bulan bagi setiap tempahan.
“Pelaksanaan sistem baharu ini turut meliputi kawasan parkir yang sebelum ini tidak dikenakan bayaran berikutan kekurangan anggota penguat kuasa ketika sistem kupon masih digunakan,” katanya pada sidang media, petang tadi.
Beliau berkata, MPS turut memperkenalkan pas parkir bermusim mengikut zon dengan kadar RM84 sebulan bagi kawasan pusat perniagaan (CBD) dan RM42 sebulan bagi kawasan bukan CBD.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan beban pengguna yang meletakkan kenderaan setiap hari,” ujarnya.
Ting turut menjelaskan bahawa waktu penguatkuasaan parkir dari 8 pagi hingga 5 petang adalah selaras dengan Undang-Undang Kecil Parkir, manakala waktu rehat tengah hari yang diamalkan sebelum ini hanya disebabkan sistem penguatkuasaan manual yang memerlukan anggota berehat.
Mengulas rungutan mengenai Notis Lebihan Tempoh Parkir (OPN), Ting berkata pengguna yang terlupa mengaktifkan parkir masih boleh mengemukakan rayuan kepada MPS.
“Saya sendiri pernah dikenakan OPN kerana terlupa mengaktifkan parkir. Ini menunjukkan sistem ini terpakai kepada semua tanpa sebarang pengecualian,” ujarnya.
Beliau berkata, kontrak pengurusan sistem parkir pintar diberikan kepada Primal Solutions selepas melalui proses tender terbuka yang disertai 10 syarikat. Daripada jumlah itu, tiga syarikat disenarai pendek sebelum syarikat berkenaan dipilih oleh Lembaga Tender MPS.
“Syarikat itu hanya bertanggungjawab menyediakan sistem parkir pintar serta menguruskan operasi petak parkir di bawah seliaan MPS,” katanya.
Ting turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan parkir dibuat berdasarkan aduan orang awam dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan MPS, bukannya syarikat pengendali sistem parkir pintar.
Mengulas kes tular yang melibatkan pengeluaran kompaun baru-baru ini, beliau berkata tindakan itu diambil selepas aduan diterima mengenai kenderaan yang diparkir secara tidak teratur sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas.
“Hasil pemeriksaan mendapati banyak kenderaan diparkir sesuka hati sehingga menghalang aliran trafik. Susulan itu, Bahagian Penguatkuasaan MPS mengeluarkan 10 kompaun,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kadar kompaun RM150 telah ditetapkan sejak 2016 dan bukan diperkenalkan sempena pelaksanaan sistem parkir pintar.
Menurutnya, semua hasil kutipan parkir, termasuk bayaran parkir dan OPN, dibayar terus kepada MPS sebelum majlis membuat pembayaran kepada kontraktor mengikut kontrak perkhidmatan.
“Kaedah ini memastikan pengurusan kewangan lebih telus, manakala semua kos pembangunan dan pelaksanaan sistem parkir pintar ditanggung sepenuhnya oleh pihak kontraktor,” katanya.
Sehingga hari ini, katanya, seramai 93,589 pengguna telah mendaftar menggunakan aplikasi SMC Cares, termasuk lebih 800 pengguna baharu yang direkodkan hari ini.
“MPS menyasarkan jumlah pengguna aplikasi itu mencecah 100,000 orang menjelang hujung tahun ini,” ujarnya.
Oleh Akun Giman