Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • MPS gesa premis makanan tingkatkan kebersihan, jaga imej bandar
  • WILAYAH

MPS gesa premis makanan tingkatkan kebersihan, jaga imej bandar

Utusan Sarawak 3 hours ago
NOTIS AMARAN… Unit Makanan, Bahagian Kesihatan Awam MPS mengeluarkan notis amaran kebersihan ke atas salah sebuah premis makanan dalam pemeriksaan baru-baru ini.

SIBU: Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mengingatkan para pengusaha premis makanan supaya sentiasa memastikan tahap kebersihan di premis mereka pada tahap yang terbaik demi untuk menjaga imej bandar ini.

Jawatankuasa Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS dalam satu kenyataan semalam berkata tandas, lantai, dinding, siling, dapur, kaki lima, lorong tepi, lorong belakang dan kawasan persekitaran premis perlu sentiasa dibersihkan semasa dan selepas waktu operasi.

“MPS memohon kerjasama semua pengusaha premis makanan untuk memastikan premis mereka sentiasa bersih, teratur dan kemas demi menjaga imej Sibu,” katanya.

Pengusaha turut diingatkan supaya tidak membuang sisa makanan, sampah dan minyak masak terpakai ke dalam longkang bagi mengelakkan bau busuk serta masalah saliran tersumbat.

“Meja dan kerusi yang rosak atau usang perlu diganti, manakala premis perlu dicat semula sekiranya didapati kotor,” ujarnya.

Sehingga kini, lebih 1,000 premis makanan berlesen beroperasi dalam kawasan MPS.

Dari Januari hingga 25 November lepas, MPS telah menjalankan pemeriksaan rutin terhadap 812 premis makanan bagi memantau tahap kebersihan dan keselamatan makanan.

Selain itu, ahli majlis dan kakitangan MPS turut melakukan pemeriksaan mengejut ke atas 105 premis, mengakibatkan lapan kompaun dan 47 notis dikeluarkan.

Kenyataan itu memberitahu, pelbagai peralatan dapur yang sumbing, berkarat dan kotor seperti papan pemotong, cawan, mangkuk, pinggan dan straw plastik turut dirampas.

Bagi kesalahan pertama, sebahagian peralatan usang akan dirampas manakala semua baki peralatan akan diambil sekiranya ketidakpatuhan berulang dikesan dalam tindakan susulan.

“MPS sangat mengambil berat aspek kebersihan premis makanan. Pengendali diwajibkan menjaga kebersihan diri, pengendalian serta penyediaan makanan dengan betul demi mengekalkan standard kebersihan yang tinggi untuk keselamatan pengguna.

“Pengusaha juga diwajibkan memastikan tandas sentiasa bersih dan semua kemudahan berada dalam keadaan baik.

“Jika gagal, tindakan kompaun akan dikenakan di bawah Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999,” tegas kenyataan itu.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Lebih 200 veteran Sarawak hadiri upacara Hari Pahlawan
Next: MPS cadang lampu isyarat sementara di Jalan Bukit Penyau, lancarkan trafik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.