
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sedang meneliti cadangan pemasangan lampu isyarat sementara di Jalan Bukit Penyau berhampiran Jalan Salim bagi meningkatkan keselamatan serta melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerja Raya dan Trafik MPS, Kaunselor Ting Hua Sing, laluan berkenaan yang berhampiran Lembaga Air Sibu telah mencatatkan beberapa insiden kemalangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sebelum ini, penggunaan lampu isyarat sementara adalah terhad dan bergantung kepada penyempurnaan Projek Pembangunan Semula Jalan Lada.
“Memandangkan garis masa projek itu masih belum pasti, kerajaan bercadang melaksanakan pemasangan lampu isyarat sementara secara berasingan untuk mengurus keadaan trafik semasa,” katanya pada mesyuarat penuh bulanan MPS, semalam.
Beliau berkata, pemasangan lampu isyarat sementara itu memerlukan kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta penyelarasan dengan agensi lain termasuk Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
Jalan Bukit Penyau berada di bawah bidang kuasa Jalan Lada, manakala Jalan Salim pula diuruskan JKR.
Ting memberitahu, kesukaran kenderaan dari Jalan Bukit Penyau untuk membelok ke kanan menuju pusat bandar pada waktu puncak turut menjadi perhatian berikutan aliran trafik yang sesak dari arah Jalan Salim.
“Lampu isyarat amat diperlukan untuk memperbaiki aliran trafik di laluan tersebut,” tegasnya.
Ting turut memberitahu, mesyuarat jawatankuasa tetap turut membincangkan status beberapa projek jalan raya dan infrastruktur.
“Kerja-kerja penambahbaikan dan penaiktarafan di Jalan Ling Kai Cheng berjalan lancar tanpa sebarang isu. Bagaimanapun, keadaan itu masih perlu dipantau dari semasa ke semasa berikutan cuaca hujan beberapa hari kebelakangan ini.
“MPS akan terus bekerjasama dengan semua jabatan berkaitan untuk memastikan keselamatan trafik dan kelancaran perjalanan penduduk.
“Para pemaju juga digalakkan untuk bekerjasama melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan infrastruktur,” kata beliau.
Oleh Akun Giman