
SIBU: Lima premis makanan di Lorong Ulu Oya dan Lorong Permai Barat telah dikenakan notis arahan pembersihan dalam tempoh 14 hari selepas pemeriksaan bersepadu dijalankan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), semalam.
Dalam operasi yang bermula 9.00 pagi itu, sebanyak 13 premis telah diperiksa oleh ahli majlis, bahagian kesihatan awam dan bahagian penguatkuasaan MPS.
Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS Kaunselor Yiing Sy Huat, lima notis telah dikeluarkan oleh bahagian kesihatan awam untuk premis makanan menjalankan kerja pembersihan dalam tempoh 14 hari.
“Manakala, satu kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan membuang sisa makanan ke dalam longkang.
“Selain itu, kami juga telah merampas penyedut minuman plastik, gelas yang telah lusuh, pinggan dan mangkuk yang telah retak, sumbing atau lusuh serta papan pemotong yang telah lusuh dari 10 premis,” katanya.
Beliau memberitahu, pihak penguatkuasa MPs telah mengeleluarkan empat kompaun atas kesalahan gagal mengemukakan permit penggunaan kaki lima dan satu amaran lisan.
Oleh Akun Giman