KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi melaksanakan Program Pengindahan Pantai Trombol sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan pantai tersebut. Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Dato Sri Ahmad Ibrahim berkata, program tersebut adalah bertujuan untuk memastikan orang ramai sedar akan tanggungjawab merekaterhadap alam sekitar.
“Antara tanggungjawab tersebut adalah seperti tindakan untuk melindungi kesuburan tanah, kehidupan manusia, udara bersih, air yang selamat yang mampu menyediakan bandar boleh didiami, makanan yang sihat, ekonomi berdaya tahan iklim dan memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pengindahan Pantai Trombol 2022 di Pantai Trombol, di sini, semalam.
Dedahnya, MPP telah membelanjakan lebih kurang RM125,000 untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan tapak pelupusan haram. Tambahnya, MPP berjaya mencegah sejumlah 33,748.70 kilogram sisa kitar semula daripada dibuang ke tapak pelupusan yang merangkumi plastik, aluminium dan kertas pada tahun 2021. “Selain itu, sepanjang program ini berlangsung pada lima hari iaitu 5 dan 6 Oktober, 13 hingga 15 Oktober, pelbagai aktiviti dilakukan seperti penanaman semula pokok di sepanjang pantai, pengumpulan sisa di sepanjang pantai dan sebagainya.
“Dengan menanam semula anak pokok di sepanjang pantai, ini akan membantu dalam meningkatkan ruang hijau untuk persekitaran yang lebih sihat seperti dalam Matlamat 11-Bandar dan Komuniti Lestari. “Justeru itu, program seumpama ini perlu diperluaskan ke kawasan hulu Padawan,” tambahnya.