
KUCHING: Pihak Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan melaksanakan kerja pembinaan semula paip pembetungan sedia ada yang telah uzur di Lorong Tian Ling 1 dan Lorong Tian Ling 3, Taman Tian Ling.
Pengerusi MPP, Kaunselor Tan Kai berkata projek tersebut bertujuan untuk meningkatkan kecekapan sistem pembetungan serta mengurangkan risiko kegagalan infrastruktur di kawasan berkenaan.
“Kerja pembinaan semula ini penting bagi memastikan sistem pembetungan berfungsi dengan lebih berkesan, mengelakkan kerosakan pada masa hadapan serta menyediakan persekitaran yang lebih bersih dan selamat kepada penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata kerja-kerja berkenaan dijadualkan mengambil masa sekitar tiga bulan bermula 10 Disember lepas dan dijangka siap pada 9 Mac 2026.
Tan turut menasihatkan orang ramai agar memberi perhatian terhadap pelaksanaan kerja tersebut dan mematuhi semua arahan keselamatan yang ditetapkan.
“Kami menghargai kesabaran, kerjasama dan kefahaman semua pihak yang terlibat sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini,” katanya.
Oleh Connie Chieng