Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • MPP diiktiraf rakan strategik Shandong, buka peluang pelaburan dan perdagangan
  • SEMASA

MPP diiktiraf rakan strategik Shandong, buka peluang pelaburan dan perdagangan

Utusan Sarawak 2 days ago
PENGERUSI MPP, Kr. Tan Kai (dua, kiri) bersama wakil Wilayah Shandong.

JINAN (China): Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai salah satu “Rakan Kongsi Cemerlang Bandar Persahabatan Wilayah Shandong 2025” oleh Kerajaan Wilayah Shandong, Republik Rakyat China.

Anugerah tersebut disampaikan sempena Minggu Kerjasama dan Pertukaran Bandar Persahabatan Antarabangsa Shandong 2025, sebagai pengiktirafan terhadap hubungan erat dan kerjasama strategik yang telah terjalin antara MPP dan Bandaraya Yantai sejak 2017.

MPP merupakan antara 16 bandar antarabangsa yang menerima anugerah sulung ini, yang bertujuan mengukuhkan jaringan diplomatik dan memacu kerjasama ekonomi serta hubungan rakyat-ke-rakyat bersama Wilayah Shandong.

Menerima anugerah bagi pihak MPP, Pengerusinya, Kaunselor (Kr.) Tan Kai berkata, pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua bandar dalam memupuk kerjasama pelbagai sektor termasuk ekonomi, pendidikan, dan kebudayaan.

“Kerjasama ini telah mewujudkan platform yang kukuh untuk persefahaman dan pembangunan bersama antara Padawan dan Yantai.

“Ia juga membuka akses pasaran yang lebih luas bagi produk dan perniagaan tempatan Sarawak,” katanya.

Menurut Tan, hubungan dua hala ini turut memberi impak positif dalam mempromosikan eksport tempatan dan merangsang minat pelaburan luar, khususnya dari China, terhadap sektor-sektor strategik di Padawan dan sekitarnya.

Sebagai sebahagian daripada lawatan kerja itu, Tan dan delegasi MPP turut menghadiri Persidangan Penggalakan Pelaburan Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perkhidmatan Pasaran Yantai.

Di sana, delegasi disambut mesra oleh pegawai kanan tempatan, mencerminkan tahap diplomasi ekonomi yang semakin kukuh.

Tan menyuarakan keyakinan terhadap potensi masa depan kerjasama ini, khususnya dalam bidang pelancongan, pembangunan bandar mampan, dan ekonomi hijau.

“Kami berharap dapat memperluaskan skop kerjasama, sekali gus meletakkan Padawan sebagai rakan dagang utama dalam jaringan bandar persahabatan Shandong.

Usaha ini akan memberi manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada komuniti tempatan, malah juga kepada pembangunan hubungan antarabangsa yang progresif,” ujarnya.

Dalam pameran yang berlangsung serentak, pelbagai produk buatan Sarawak turut dipamerkan, memberi pendedahan kepada jenama tempatan serta peluang menjalin hubungan dengan pihak berkepentingan dan pelabur antarabangsa.

Oleh Connie Chieng

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak perkasa R&D pertanian demi kelestarian sekuriti makanan
Next: Sarawak sasar jadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.