

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengarahkan tindakan segera diambil bagi menangani beberapa isu penyelenggaraan yang dikenal pasti semasa pemeriksaan tapak rutin di kawasan Batu Kawah.
Pengerusi MPP, Tan Kai berkata, arahan tersebut dikeluarkan susulan pemeriksaan yang dijalankan oleh Ahli Majlis Residen Zon 7 (Batu Kawah), Kaunselor Gary Yeo, bersama pegawai majlis bagi menilai keadaan kemudahan awam dan perkhidmatan perbandaran di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, perkhidmatan perbandaran mempunyai kesan langsung terhadap kualiti persekitaran hidup serta kesejahteraan penduduk, justeru sebarang kelemahan yang dikenal pasti perlu ditangani dengan segera.
“Perkhidmatan perbandaran memberi kesan langsung kepada persekitaran hidup dan kesejahteraan penduduk. Keadaan seperti ini tidak boleh diterima dan saya telah mengarahkan pegawai berkaitan menjalankan siasatan segera serta memastikan tindakan pembetulan yang diperlukan dilaksanakan tanpa berlengah,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil pemeriksaan mendapati kemudahan awam dan perkhidmatan perbandaran di kawasan tersebut secara keseluruhannya berada dalam keadaan baik dan terpelihara.
Bagaimanapun, Yeo mengenal pasti masalah rumput yang terlalu panjang di beberapa bahagian longkang tanah di Jalan Kim Su Sin.
Beliau turut menerima aduan daripada penduduk di Jalan Kim Phang yang memohon kerja pengorekan dijalankan di longkang tanah di kawasan berkenaan bagi memastikan aliran air berjalan lancar.
Sehubungan itu, pegawai majlis telah diarahkan menjalankan pemeriksaan lanjut dan menyelaras kerja-kerja penyelenggaraan yang diperlukan di kedua-dua lokasi terbabit.
Tan turut menggalakkan penduduk supaya terus menyalurkan maklum balas dan melaporkan sebarang isu penyelenggaraan di kawasan kejiranan masing-masing bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih, selamat dan terurus,” katanya.
Penduduk di kawasan Batu Kawah dan Jalan Datuk Stephen Yong yang memerlukan bantuan atau ingin menyalurkan maklum balas berkaitan isu perbandaran setempat boleh menghubungi Ahli Majlis Residen kawasan masing-masing.
Oleh Connie Chieng