
KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan menganjurkan Kempen Beli Balik Barangan Kitar Semula, Sisa Elektrik/Elektronik, Pengumpulan Minyak Masak Terpakai serta Sumbangan Pakaian Terpakai pada 13 September ini.
Kempen itu akan berlangsung dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di tempat parkir hadapan Everrise, Batu 4 ½, dengan kerjasama pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), DNS Waste Management Sdn. Bhd., Kim Huang Enterprise serta Tzu Chi Foundation Kuching.
MPP memaklumkan, program itu bertujuan menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup lestari dengan mengitar semula barangan terpakai, di samping menyokong usaha kebajikan melalui sumbangan pakaian terpakai.
Orang ramai digalakkan membawa barangan kitar semula seperti kertas, surat khabar lama, botol plastik, tin makanan dan minuman, besi, sisa elektrik serta elektronik (e-waste) dan minyak masak terpakai. Pakaian terpakai yang dikumpul akan disalurkan kepada Tzu Chi Foundation Kuching untuk tujuan amal.
Menariknya, kempen ini bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menjana pendapatan tambahan melalui jualan barangan kitar semula, malah ia turut menjadi saluran terbaik untuk melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dalam aktiviti kelestarian.
Selain itu, penganjuran berterusan program seperti ini membuktikan komitmen MPP dalam melahirkan komuniti yang lebih peka terhadap isu alam sekitar, seiring dengan aspirasi menjadikan kawasan Padawan sebuah bandaraya yang bersih, hijau dan mampan.
Oleh Norman B