KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengagihkan 16 tong sampah individu kepada penduduk di Lo Ti Kong, Batu Kawa sebagai sebahagian usaha berterusan membendung kegiatan pembuangan sampah haram dalam kawasan pentadbirannya.
Pengerusi MPP, Kaunselor Tan Kai, berkata pembuangan sampah haram kekal menjadi isu serius kerana bukan sahaja menjejaskan kebersihan dan imej kawasan perumahan serta komersial, malah turut memberi risiko kepada kesihatan awam, alam sekitar dan keselamatan.
Beliau berkata, walaupun pemantauan, aktiviti penguatkuasaan, program kesedaran awam dan perkhidmatan kutipan sampah berjadual dilaksanakan secara berkala, kejadian pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab masih berlaku di lokasi tertentu.
“Majlis memandang serius perkhidmatan perbandaran kerana ia memberi kesan secara langsung kepada persekitaran kehidupan dan kesejahteraan penduduk.
“Situasi seperti ini tidak boleh diterima dan Majlis akan terus memantau kawasan panas serta melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi membendung kegiatan ini,” katanya.
Tan Kai berkata antara cabaran utama yang dihadapi MPP ialah akses terhad bagi kenderaan kutipan sampah, khususnya di kawasan perumahan lama, kampung dan taman perumahan yang mempunyai jalan sempit serta ruang pusingan yang terhad.
Beliau berkata kewujudan talian komunikasi dan kabel elektrik di atas jalan yang sempit turut boleh mengehadkan pergerakan serta operasi kenderaan kutipan sampah bersaiz besar.
Tan Kai menggesa penduduk dan orang awam supaya terus menyalurkan maklum balas serta melaporkan kejadian pembuangan sampah haram di kawasan kejiranan masing-masing bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Majlis akan terus memantau keadaan dan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan kawasan Padawan kekal bersih dan selamat,” katanya.
Oleh Connie Chieng





