KUCHING: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) dan Mygro Trading Sdn Bhd bagi penyelidikan bahan mentah alternatif untuk formulasi makanan ternakan berasaskan sawit serta mencegah ancaman penyakit tanaman.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerjasama pengkomersialan teknologi makanan dengan Salcra dapat mengurangkan penggunaan bahan mentah import seperti jagung dan dedak kacang soya.
Menurutnya kajian dan pengkomersialan bahan mentah alternatif untuk formulasi makanan ternakan diberikan keutamaan sebagai antara langkah untuk menangani kenaikan harga bekalan makanan ternakan.
“Bagi tujuan ini, MPOB dan Salcra telah menjalin kerjasama untuk mengkomersialkan teknologi formulasi pelet makanan ternakan lembu pedaging berasaskan sawit yang dibangunkan oleh MPOB.
“Pengkomersialan teknologi makanan ternakan berasaskan sawit dapat mengurangkan penggunaan bahan mentah import seperti jagung dan dedak kacang soya,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) Sarawak 2024 di sini hari ini yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.
Hadir sama ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
TOT Sarawak 2024 menggalakkan pengkomersialan teknologi dalam industri sawit oleh penggiat industri sawit dan usahawan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana di negeri ini.
Sementara itu, Johari berkata bahan mentah yang diimport akan digantikan dengan produk berasaskan sawit seperti tandan buah kosong dan dedak isirung sawit untuk menghasilkan pelet makanan yang dilengkapkan nutrisi bagi haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan ayam.
Beliau berkata, sebagai langkah mendepani ancaman penyakit reput pangkal batang (RPB) dalam tanaman sawit yang menjejaskan pendapatan peladang, MPOB bekerjasama dengan syarikat dari Sibu, Mygro Trading Sdn Bhd untuk mengeluarkan produk teknologi hijau yang dihasilkan MPOB secara komersial.
“RPB yang disebabkan oleh kulat ganoderma yang merosakan pokok sawit matang, menyebabkan kerugian kepada pengusaha tanaman sawit jika tidak ditangani pada peringkat awal.
“MPOB telah menghasilkan formulasi produk biofungisida berasaskan mikroorganisma endofit yang diasingkan daripada akar sawit, memberikan kawalan yang signifikan terhadap ganoderma boninense, agen penyebab utama penyakit RPB,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata penggunaan minyak penebat mesra alam berasaskan sawit dalam rantaian pencawang elektrik boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan di negeri ini.
Menurutnya inisiatif yang dihasilkan oleh penyelidik MPOB dapat mengurangkan risiko kebakaran di pencawang elektrik.
“Selain menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Elektroteknik Antarabangsa (IEC), minyak penebat berasaskan sawit mempunyai titik kilat dan kebakaran yang lebih baik berbanding minyak penebat berasaskan petroleum,” katanya.– BERNAMA